Berita palsu: Abaikan jika tidak pasti

 |Jan 16, 2017
Peguam Noorhajran Mohd Noor bercakap mengenai berita palsu di MO Vision Channel.
Peguam Noorhajran Mohd Noor bercakap mengenai bahaya berita palsu di MO Vision Channel.

Perlu dinyatakan bahawa dengan kemajuan teknologi, manusia juga harus lebih bertanggungjawab mengendalikan teknologi namun dewasa ini, kita lebih cenderung bertindak tanpa berfikir terlebih dahulu.

Dengan kehadiran telefon pintar dan laman media sosial, komunikasi menjadi lebih mudah dan penghantaran maklumat juga boleh dilakukan dengan lebih pantas berbanding 10 tahun dahulu.

Walau sedemikian, ini menimbulkan masalah keengganan pengguna laman media sosial untuk menyemak maklumat yang diperolehi terlebih dahulu sebelum berkongsi.

Ada yang berkata mencegah lebih baik dari mengubati. Ini kemudiannya dijadikan asas untuk berkongsi maklumat yang tidak sah.

Namun, walau apa pun alasan, berkongsi maklumat yang tidak sah atau berita palsu adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Berita palsu atau maklumat yang tiada pengesahan semakin menular kini, menyebabkan ramai pengamal media dibebani tugas menyemak setiap dakwaan yang muncul di media sosial.

Apabila tindakan berkongsi maklumat sebegini menjadi kebiasaan, ini akan memberi impak negatif kepada masyarakat kerana ia seolah mengajar anak-anak kita bahawa tidak menjadi kesalahan sekiranya kita menipu dengan niat baik.

Berkongsi maklumat tidak sah juga boleh menyebabkan kekecohan yang tidak perlu, melahirkan persepsi negatif terhadap mana-mana individu atau melahirkan masyarakat yang tidak peduli dengan kebenaran.

Berita palsu adalah perkara yang masih boleh ditangani kerana ia hanya memerlukan kita berfikir sebelum bertindak. Sebagai contoh, jika kita mendapat apa-apa maklumat, kita boleh membuat carian di Google terlebih dahulu sebelum berkongsi.

Bagi mereka di bidang media, terdapat satu perumpamaan yang dipegang teguh, “Jika tidak pasti, abaikan.”

Ini juga boleh diapplikasikan kepada perkongsian maklumat atau berita yang tidak sah.

Jika anda tidak pasti, abaikan dan jangan kongsi maklumat dengan orang lain sehingga menjadi viral dan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

MO Vision Channel baru-baru ini menemuramah peguam Noorhajran Mohd Noor yang berkongsi pendapat beliau tentang berita palsu.

Anda boleh layari video tersebut di bawah: