‘Beralih kepada ekonomi Islam berbanding ekonomi konvensional’

Jan 4, 2017
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.

Merujuk kenaikan harga minyak yang dilihat berlaku ketika ibu bapa giat menguruskan hal ehwal persekolahan anak-anak mereka, Pemuda PAS merasakan negara harus beralih kepada kerangka ekonomi Islam berbanding ekonomi konvensional.

Setiausaha Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden di dalam satu kenyataan berkata, kenaikan harga minyak di waktu ini menunjukkan negara masih berada dalam ‘kerangka ekonomi konvensional yang menjadikan pengeluaran dan keberhasilan sebagai ukuran utama pembangunan’.

Antara asas ekonomi Islam, katanya, ialah membuat keputusan dan polisi dengan mengukur tahap keperluan serta keutamaan manusia terlebih dahulu, berdasarkan tiga aspek: daruriyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.

“Untuk mempersiapkan manusia sebagai pengurus alam, manusia perlu dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan, samada melalui pengajian formal mahupun tidak formal. Dalam Islam, ilmu pengetahuan adalah perkara asas yang wajib dipenuhi,” jelasnya.

“Maka, menuntut ilmu dan melaksanakan persiapan untuknya dikategorikan Islam sebagai perkara penting pada tahap daruriyat. Rakyat yang mempersiapkan anak-anak dengan perbelanjaan membeli kelengkapan untuk mendapatkan ilmu secara formal di sekolah adalah tindakan yang memenuhi tuntutan daruriyat.”

Seterusnya, Afnan Hamimi berkata hajiyyat adalah aspek yang memberikan kemudahan, kelapangan dan keselesaan kepada manusia.

“Manakala tahsiniyyat pula adalah keperluan manusia yang bersifat ‘aksesori’, ia berada pada keutamaan ketiga selepas daruriyyat dan hajiyyat,” jelasnya lagi.

“Dalam isu ini, sumber alam seperti minyak dan isu-isu berbangkit mengenainya boleh dikategorikan berada dalam tahap hajiyyat, iaitu perkara yang memberikan kemudahan kepada manusia yang perlu menjadi keutamaan kedua selepas daruriyat. Manakala membuat persiapan membeli kelengkapan untuk persekolahan anak-anak pula dikategorikan dalam tahap daruriyat yang perlu menjadi keutamaan pertama. Sehubungan itu, aspek daruriyat perlu menjadi keutamaan kepada kerajaan untuk membuat sebarang keputusan dan polisi samada dalam aspek ekonomi, politik mahupun sosial.”

Afnan Hamimi walaubagaimanapun mengakui bahawa sesebuah kerajaan berhak menaikkan atau menurunkan harga minyak sesuai dengan harga pasaran minyak dunia dan iklim ekonomi semasa.

Namun katanya, penentuan harga minyak yang tidak bijak akan memberi implikasi terhadap pembangunan negara, khasnya dalam aspek pengeluaran dan bidang keberhasilan negara.

“Selain itu, ia juga akan memberi kesan terhadap keadaan sosio-ekonomi rakyat, samada mengalami pertumbuhan atau penguncupan, menguntungkan atau membebankan,” katanya.

SHARE