Bekas CEO Tekun mengaku tidak bersalah dakwaan terlibat rasuah

Jan 9, 2017
Gambar fail kredit Facebook SPRM.
Gambar fail kredit Facebook SPRM.

Bekas pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Tekun Nasional Abdul Rahim Hassan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Shah Alam di atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan bernilai RM36,000.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Rahim, 62, didakwa meminta dan menerima rasuah daripada sebuah syarikat pengutip hutang, Pasadana Sdn. Bhd. masing-masing pada 13 dan 15 Januari 2015.

Abdul Rahim didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, Abdul Rahim boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau denda RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Asmadi Hussain membenarkan Abdul Rahim diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin untuk dua pertuduhan dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai sebagai syarat jaminan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 8 Februari dan kes akan dibicara pada 13 hingga 17 Mac.

Abdul Rahim yang pernah disiasat SPRM di atas pertuduhan menerima rasuah dua tahun lalu ditahan suruhanjaya itu semalam di kediamannya di Shah Alam, menurut laporan Utusan Online.

SHARE