Bayi Abby Abadi meninggal dunia dalam kandungan

 |Jul 10, 2017
Gambar kredit Instagram Abby Abadi.

KUALA LUMPUR: Pelakon Abby Abadi dilaporkan mengalami keguguran bayi lima bulan hasil perkahwinan terbaharunya.

Memetik laporan mStar Online, Abby dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta hari ini bagi proses mengeluarkan janin yang masih dalam kandungan.

Suaminya, Muhammad Faizal Zakaria berkata, usia kandungan Abby sudah memasuki lima bulan dan mempunyai cukup sifat.

Menurutnya, keadaan bayi dalam kandungan sudah tidak bergerak selepas pasangan itu membuat pemeriksaan di sebuah klinik.

Tambahnya, Abby kini berada dalam keadaan stabil namun doktor harus mengeluarkan janin tersebut secara normal.

Difahamkan, pasangan tersebut masih terkejut dan bersedih namun reda dengan keadaan itu.

Kisah sedih ini turut dikongsikan bekas suami Abby, Norman Hakim di Instagramnya.

Norman memuat naik gambar perbualan mereka menerusi aplikasi WhatsApp dan turut memohon agar peminat mendoakan yang terbaik buat Abby dan suami.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 40,  berkahwin dengan Muhammad Faizal, 43, pada 14 Ogos 2015 iaitu perkahwinan ketiganya.

Sebelum itu dia berkahwin dengan aktor Norman Hakim dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 12, Marissa Dania Hakim, 10, dan Maria Danisha Hakim yang kini berusia tujuh tahun.

Pasangan itu bercerai pada tahun 2008.

Abby kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada 2013 sebelum bercerai selepas 11 bulan berumah tangga.  – MO

SHARE