Baling selipar dan botol, program Nothing to Hide bersama Tun Mahathir kecoh

 |Aug 13, 2017
Foto MO Noraizura Ahmad.

SHAH ALAM: Program Nothing to hide 2.0 yang dianjurkan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) ‘dicacatkan’ dengan balingan selipar, kerusi dan botol air serta mercun dalam Dewan Raja Muda Musa di sini, hari ini.

Program yang bermula kira-kira jam 4 petang itu bertahan satu setengah jam sebelum bertukar kecoh apabila salah seorang daripada peserta program melemparkan selipar ke arah pengerusi Pribumi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Keadaan bermula apabila seorang peserta mempersoalkan mengenai peristiwa Memali yang berlaku ketika pemerintahan Mahathir.

Apabila Mahathir tidak menjawab soalan berkenaan kerana kekurangan masa,  beliau dilontarkan selipar dan beberapa orang mula berdiri mengelilingi beliau bagi menyelamatkannya.

Keadaan lebih kecoh apabila botol dan mercun dilontarkan secara rambang di dalam dewan menyebabkan orang ramai melarikan diri.

Susulan keadaan berkenaan, Mahathir dan pemimpin Pakatan Harapan yang hadir di bawa keluar dewan dan program tersebut dihentikan serta merta.

Terdahulu, Mahathir yang ‘beraksi’ seorang diri menyifatkan kegagalan Datuk Seri Najib Razak menyertainya dalam program tersebut sebagai tanda Presiden Umno itu mempunyai banyak perkara yang disembunyikan.

Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan itu turut mencabar sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri untuk berbahas dengan beliau berhubung pelbagai dakwaan.

“Kita berbahas, apa nak takut, jika saya tak boleh tunjukkan awak bohong, salahkan saya dan awak mesti tunjuk, jangan cakap sambil berpusing, ” katanya

Program tersebut dihadiri kira- kira 800 orang.

Turut hadir pemimpin Pakatan Harapan Khalid Abdul Samad, Dr Daroyah Alwi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zuraida Kamaruddin, Ng Suee Lim, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Datuk Zaid Ibrahim, serta pimpinan Pakatan pembangkang lain. – MO