Bakal lancarkan single, Datuk Vida sedia terima undangan nyanyian

 |Jul 12, 2017
Gambar kredit Instagram @datoserivida.

KUALA LUMPUR: Impian pengasas kosmetik produk Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida untuk bergelar penyanyi akhirnya tercapai selepas berjaya menghasilkan single pertama berjudul I Am Me ciptaan Edry Abdul Halim.

Mstar Online melaporkan, Datuk Vida, 46, bersedia menghadapi cabaran baharu sebagai anak seni selepas kejayaannya mencipta nama sebagai jutawan kosmetik.

“Selepas ini saya nak dikenali sebagai anak seni pula. Hasrat untuk menyanyi saya sudah simpan sejak dua tahun lalu tapi tak berkesempatan untuk lakukannya.

“Saya rasa tahun ini sangat sesuai untuk mengeluarkan single I Am Me,” katanya.

Datuk Vida berkata, dia sudah bersedia untuk menerima undangan nyanyian di mana-mana acara hiburan atau korporat.

Single sulung beliau bakal dilancarkan secara rasmi menerusi platform digital pada Jumaat ini.

Sementara itu, muzik video nyanyian usahawan tersebut pula boleh ditonton pada awal Ogos depan.

Datuk Vida menyatakan beliau berasa yakin dengan sambutan orang ramai terhadap single sulungnya itu memandangkan ia mengetengahkan konsep catchy dan easy listening.

Menerusi laman Instagramnya, beliau berkongsi video di sebalik pembikinan video muziknya.

Menurutnya, video tersebut bertaraf antarabangsa dan tiada lagi dilakukan di dalam negara ini.

“Tak ada lagi kat Malaysia.. nanti sayang semua kena tengok,” tulisnya yang memberitahu sebanyak lima pasang baju ditempah khas untuk dipakai dalam muzik video berkenaan. – MO