Axiata Arena ganti Stadium Putra Bukit Jalil

 |Jan 16, 2017
Gambar kredit Twitter @khairykj.
Gambar kredit Twitter @khairykj.

Stadium Putra Bukit Jalil kini dikenali sebagai Axiata Arena.

Perkara ini diumumkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menerusi laman Twitternya berikutan perjanjian dimeterai syarikat telekomunikasi Axiata Berhad bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Khairy turut memaklumkan ini adalah perjanjian pertama kali di Malaysia bagi kerjasama yang meliputi hak penamaan stadium.

Walaubagaimanapun, Khairy menjelaskan penamaan ini hanya meliputi stadium tertutup.

“Axiata Arena ialah stadium tertutup. Stadium nasional kekal Stadium Nasional Bukit Jalil,” jelasnya di Twitter.

Berita Harian melaporkan perjanjian yang ditandatangani tersebut adalah untuk durasi 10 tahun dengan peruntukan RM55 juta.

Ini memberikan Axiata penajaan eksklusif terhadap kerjasama pembangunan semula dan pemodenan stadium negara.

Kompleks Sukan Bukit Jalil juga akan dibangunkan semula melalui kerjasama ini dan akan dikenali sebagai KL Sport City pada Julai tahun ini.

Penukaran nama stadium ini dilihat mengundang pelbagai komen di laman media sosial Twitter.

Pengguna Twitter @azraeimuhamad berkata, “Steady juga Axiata Arena ni. Pasal selama ni aku confuse Stadium Putra Bukit Jalil dengan Stadium Bukit Jalil.”

“Axiata Arena. Sedap juga nama ni,” kata pengguna Twitter @amirul_idhamAB.

“Nama Stadium Putra Bukit Jalil ditukarkan kepada Axiata Arena. Nice!” kata @Zul_Effandi.

Pengguna @izzatighafur pula berkata lebih menggemari nama lama stadium tersebut.

“Axiata Arena? I prefer the old name,” katanya.