Atlet langgar perintah berkurung: Nasib ditangan ketua kontinjen

 |Aug 9, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: “Nasib mereka terserah di tangan Ketua Kontinjen, Datuk Marina Chin untuk buat keputusan,” itu respon Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika diminta mengulas mengenai dua altlet negara yang dituduh melanggar perintah berkurung hujung minggu lalu.

Beliau berkata, pihaknya menerima penjelasan yang diberikan dua atlet yang terlibat iaitu pemain badminton beregu campuran, Goh Soon Huat dan penjaga gol futsal wanita negara, Nur Izwani Azman.

“Ini adalah masalah disiplin dan saya serahkan kepada Datuk Marina bagi memastikan perkara ini tudak berulang lagi.

“Kami sudah mendengar dan menerima penjelasan dari kedua-dua atlet dan tiada kes lagi,” katanya pada sidang media pada Majlis Meet & Greet peserta MyCorps Asia Selatan Misi 1/2017.

Dua atlet berkenaan dituduh keluar dari kem melepasi had masa yang ditetapkan semasa kem Perhimpunan Atlet Sukan SEA 2017 di Hotel Renaissance di sini.

Semalam, kedua-dua mereka sudah tampil memberi penjelasan dengan menyatakan hanya berada di kawasan lobi dan bukan di luar hotel.

Sementara itu, Khairy berkata, penguguran atlet kuartet 4×100 meter wanita negara, S. Komalam Shally dalam Sukan SEA tidak akan menjejaskan peluang Malaysia untuk memungut pingat pada acara tersebut.

“Itu adalah masalah disiplin dan keputusan dibuat oleh pengurusan pasukan itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Khairy menjelaskan permukaan stadium hoki tertutup yang dikatakan tidak rata dapat diatasi dalam masa empat hari sebelum Sukan SEA bermula.

Menurutnya, satu rundingan dengan pihak kontraktor telah dilakukan dan masalah tersebut dapat diatasi dalam tempoh yang singkat.

“Sebab itu kami mengadakan perlawanan ujian bagi menguji lantai permukaan di stadium hoki itu,” katanya. – MO