‘Ary Malik masih bernafas’

 |Feb 28, 2017
Gambar fail kredit MasterChef Malaysia.

Pelakon Ary Malik tidak meninggal dunia seperti yang dilaporkan beberapa laman sosial media.

Menurut muat naik terbaru di Facebook oleh pelakon dan pengarah Shahriza Mahmud, Ary masih bertarung melawan kanser ovari tahap empat yang dihidapinya.

“Tolong jangan sebar berita angin, palsu, dengar-dengar, rasa-rasa, ikut-ikutan. Ary Malik masih bernafas. Doakan ketenangan Ary untuk terus bertarung dengan penyakitnya. Amin,” kata Shahriza.

Muat naik pada jam 3.32 petang tadi menambah, “Ary is a fighter. She is still fighting! Allah masih izinkannya bernafas. Siapa kita???”

Telah viral di laman media sosial tadi bahawa Ary meninggal dunia. Namun beberapa laman web yang pada mulanya melaporkan perkara itu, sudahpun bertindak menarik balik laporan mereka.

Terdahulu, suaminya Shahrul Nizam Shaharuddin memberitahu mStar Online bahawa Ary masih tidak sedarkan diri selepas dimasukkan ke Hospital Ampang.

Shahrul Nizam turut memberitahu mStar Online bahawa Ary dikesan menghidap kanser ovari Mei tahun lepas dan terpaksa menjalani rawatan kimoterapi.

Ary, atau nama sebenarnya Nurita Maliha Aryanee Malik pernah mengikuti rancangan MasterChef Malaysia pada tahun 2012 sebagai peserta.

Berusia 46 tahun, Ary mempunyai tiga anak bersama Shahrul Nizam; Nurh Zoe Iman Malik, 19, Dinda Pelangi Timor Malik, 13 dan Ratu Chinta Mecca Malik, 11.

Antara drama lakonan Ary yang menaikkan namanya di dalam industri hiburan Malaysia ialah Kolej sekitar tahun 90an.