Armada Pribumi sedia kerjasama dengan Umno tangani hutang belia PTPTN

 |Jul 14, 2017
Abdul Hannaan Khairy dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan). – Foto MO Azrol Ali.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sedia bekerjasama dengan Pemuda Umno bagi memperjuangkan isu hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melibatkan berpuluh ribu belia Malaysia.

Menurutnya, beban hutang PTPTN dan peluang kerja yang terhad adalah masalah utama yang dihadapi golongan belia masa kini terutamanya anak muda Melayu.

“Kita juga boleh bekerjasama dengan mereka (Umno) untuk dapatkan data berapa ramai pelajar yang menghadapi masalah, mereka lebih mudah akses dan mengetahui perkara ini,” katanya pada sidang media di pejabat Pribumi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pelajar lepasan diploma sebelum 2014 yang terpaksa menyelesaikan bayaran pinjaman walaupun sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah.

Sementara itu, Exco Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda Pribumi, Abdul Hannaan Khairy berkata, dianggarkan kira-kira 50,000 mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sebelum tahun 2014 dibebani hutang PTPTN, sehingga nama mereka disenarai hitamkan.

“Penangguhan bayaran yang diluluskan pihak PTPTN difahamkan untuk mengelakkan peminjam daripada dikenakan kos saman dan kos dakwa.

“Walaupun mendapat kelulusan penangguhan, bayaran bulanan tetap perlu dilakukan seperti biasa,” katanya.

Jelasnya, perkara ini cukup membebankan mahasiswa yang kebanyakannya belum mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap, ditambahkan lagi keadaan ekonomi negara dan kos sara hidup yang tinggi. – MO