APMM patah cubaan seludup rokok bernilai lebih RM200,000

 |Jul 13, 2017
Hasil rampasan rokok seludup di dalam satu operasi yang dijalankan APMM malam tadi. – Foto MO Azrol Ali.

PELABUHAN KLANG: Tindakan pantas anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan sekumpulan penyeludup membawa masuk rokok di sebuah pengkalan haram di Sungai Tengkorak, Tanjong Karang, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.34 malam itu, sebuah bot pancung yang dipercayai dari Pulau Rupat, Indonesia diekori sepasukan anggota APMM yang curiga dengan pergerakan suspek.

Pengarah Maritim Daerah, Kapten Abu Zaki Mohammad berkata, anggota yang membuat rondaan menemui sebuah bot pancung di kedudukan 5.9 batu nautika persisir pantai Sungai Tengkorak sebelum mengekori bot suspek selama 30 minit.

Menurutnya, apabila tiba di persisiran pantai terdapat sebuah lori tiga tan jenis Isuzu sedang menunggu untuk memunggah rokok dari bot pancung tersebut.

“Kira-kira 10 suspek termasuk tekong dan awak-awak melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran ketika anggota menyerbu kawasan tersebut.

“Pemeriksaan menemui 4,050 karton rokok putih jenama U2 di dalam bot dan lori,” katanya pada sidang media di pejabat APMM di sini, hari ini.

Pengarah Maritim Daerah 4, Kapten Abu Zaki Mohamad menjawab soalan pihak media ketika sidang akhbar rampasan rokok seludup di Pejabat Daerah Maritim 4, Selangor. – Foto MO Azrol Ali.

Abu Zaki berkata, suspek dipercayai menggunakan arah lampu untuk masuk ke pesisiran pantai di negara ini untuk menyeludup rokok.

Menurutnya, nilai rampasan rokok dianggarkan bernilai RM231,336 dan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM361,336 termasuk sebuah bot, empat buah enjin OBM dan sebuah lori.

Beliau menjelaskan persisir pantai Sungai Tengkorak sering menjadi tumpuan penyeludup untuk membawa masuk barang dari negara jiran.

“Pemantauan dan operasi di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai lorong tikus akan terus ditingkatkan bagi menghalang sebarang penyeludupan berlaku.

“Kami berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat yang lengkap jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah di laut di talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia,” katanya.

Menurutnya, bot dan lori dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah dan laporan polis dibuat bagi mengenal pasti nombor pendaftaran.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam1967 kerana membawa masuk barang tanpa kelulusan Kastam. – MO

SHARE