APMM nafi turunkan Jalur Gemilang di Beting Patinggi Ali

Jan 9, 2017
Gambar fail kredit Shutterstock.
Gambar fail kredit Shutterstock.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Sarawak hari ini menafikan dakwaan ia diarah menurunkan Jalur Gemilang di Beting Patinggi Ali atau Luconia Shoals yang terletak 84 batu nautika dari pantai Miri.

Ketua Penguat kuasa Maritim Laksamana Pertama Maritim, Ismaili Bujang Pit berkata, Maritim Sarawak juga tidak pernah menerima arahan berbuat demikian daripada Putrajaya.

APMM Sarawak tidak menerima sebarang laporan mengenai bendera Malaysia itu telah diturunkan, katanya dalam kenyataan di sini, mengulas dakwaan tersebut yang dibuat pihak tertentu menerusi media sosial.

Beting Patinggi Ali merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

Jalur Gemilang itu dinaikkan pada 31 Ogos 2015 oleh ahli arkeologi marin amatur Australia Kapten Hans Berekoven serta pasukan penyelidiknya dan pegawai muzium negeri semasa mereka menjalankan penyelidikan di situ.

Mengulas lanjut, Ismaili berkata, pihak berkenaan turut mendakwa pesawat bombardier agensi dilihat terbang rendah di perairan itu semasa menurunkan bendera.

“Dakwaan ini juga tidak benar,” katanya.

Ismaili berkata, setiap rondaan yang dilakukan oleh agensi itu di kawasan berkenaan direkod dan dilapor kepada teraju pimpinan.

“Adalah mustahil insiden sedemikian akan diabaikan jika benar ia berlaku,” katanya menambah APMM Sarawak telah melakukan rondaan di kawasan berkenaan sejak 2013.

“Untuk rekod, kami bersama Tentera Laut Diraja Malaysia pernah melihat kehadiran kapal pengawal pantai China di Beting Patinggi Ali pada 2013, dan sejak itu kami melakukan rondaan di kawasan berkenaan dengan lebih kerap.

“Setakat ini tiada kejadian tidak diingini berlaku,” kata Ismaili.

Beliau berkata, agensi itu akan meneruskan usaha memastikan perairan Beting Patinggi Ali kekal selamat untuk nelayan tempatan dan komuniti perkapalan. – Bernama