Annuar Musa tunjuk sisi kreatif hasilkan lirik lagu Rahsia Sudut Hati

 |Feb 17, 2017
Lagu Rahsia Sudut Hati ditujukan khas kepada Presiden Umno Najib Razak.
Lagu Rahsia Sudut Hati ditujukan khas kepada Presiden Umno Najib Razak.

Lumrah kehidupan di atas pentas politik sememangnya akan disulami pelbagai cabaran dan dugaan.

Tidak kurang juga serangan peribadi yang menjadi semakin mudah dengan adanya kemudahan media sosial.

Melihatkan keadaan ini, Ketua Penerangan Umno Annuar Musa terpanggil untuk berkarya secara kreatif di dalam menyampaikan perasaan dan luahan hati Perdana Menteri Najib Razak kepada rakyat.

Bercakap kepada media Umno Online, Annuar berkata beliau bersimpati dengan nasib Najib yang sentiasa disalaherti dan difitnah.

“Menjadi seorang ketua kadangkala ada perkara yang kita harus simpan sendiri dan tidak boleh dikongsi… Melalui pengalaman saya dalam politik, tidak kira betapa benarpun sesuatu perkara itu kadangkala kita harus simpan sendiri,” beliau dipetik berkata Umno Online di dalam laporan yang dimuatnaik semalam.

Berdasarkan itu, Annuar telah pun menulis bait-bait lirik bagi lagu yang bertajuk Rahsia Sudut Hati yang ditujukan kepada Najib yang juga merupakan Presiden Umno.

Lirik tersebut diberikan sentuhan lagu oleh komposer terkenal Azmeer dan dinyanyikan oleh Liza Hanim.

“Jadi, sebagai ketua penerangan bagaimana saya mahu beritahu kepada rakyat agar cubalah fahami perasaan dan niat baik pemimpin… Inilah yang memberikan idea kepada saya untuk membuat lirik.

“Saya percaya, tidak hanya melalui bercakap atau berkempen untuk kita sampaikan mesej, tetapi boleh melalui lagu juga. Sebagai ketua penerangan saya perlu kreatif,” Annuar memberitahu Umno Online.

Lagu tersebut telah diperdengarkan pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu.