Amanah tidak bincang soal calon Dun Sungai Air Tawar

 |Jan 18, 2017
Gambar fail kredit Facebook Salahuddin Ayub.
Gambar fail kredit Facebook Salahuddin Ayub.

Timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata parti tersebut merasakan pilihan raya kecil (PRK) kawasan Sungai Air Tawar di Selangor tidak akan diadakan.

Bercakap kepada portal berita Antarapos, Salahuddin berkata mengikut perlembagaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRK tidak akan dibuat setelah melepasi tempoh tiga tahun pilihan raya umum diadakan.

Berikutan itu, Amanah juga tidak merasakan ada keperluan untuk parti itu berbincang samada ingin meletakkan calonnya di situ, lapor Antarapos.

Ahli dewan undangan negeri (Adun) Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik meninggal dunia semalam selepas ditemui tidak sedarkan diri di ruang tamu rumahnya.

Kamarol Zaki yang juga merupakan Timbalan Ketua Bahagian Umno Sabak Bernam memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum yang lepas dengan mengalahkan calon PAS Wahid Rais dengan majoriti 1,416 undi.

Pihak SPR di dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa tarikh hari pertama sesi persidangan Dun Selangor adalah pada 21 Jun 2013.

“Berkaitan keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecik (PRK) bagi kerusi Dun ini, ianya akan dimaklumkan kelak oleh SPR selepas menerima pemakluman rasmi daripada YB Speaker Dun Selangor selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri tersebut,” kata pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah.

Bagi kekosongan kerusi Dun di Sarawak pula berikutan kematian bekas Ketua Menteri Adenan Satem, SPR akan mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabatnya di Putrajaya.

Juga di dalam satu kenyataan semalam, SPR berkata mesyuarat itu akan membincangkan perkara berkaitan urusan pilihan raya kecil (PRK) Dun Tanjung Datu tersebut termasuk tarikh hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu.