Alasan penangguhan 2 projek pembangunan di Pulau Pinang ‘menghairankan’, kata pemimpin Umno

 |Jan 24, 2017
Gambaran artis bagi peojek BPO Prime. - Gambar kredit InvestPenang.gov.my.
Gambaran artis bagi peojek BPO Prime. – Gambar kredit InvestPenang.gov.my.

Projek Business Processing Outsourcing Prime (BPO Prime) dan Penang International Technology Park (PITP) sepatutnya dibangunkan dengan tujuan utama sebagai hub perniagaan untuk ‘business outsourcing’ dan bukannya satu projek pembinaan perumahan atau condominium mewah.

Ini menurut Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Zainal Abidin Osman yang berpendapat alasan bahawa projek ini ditangguhkan untuk satu tempoh yang tidak dapat dinyatakan kerana kekurangan permintaan untuk kondominium berkualiti tinggi adalah ‘menghairankan.

Di dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata cadangan pembangunan BPO Prime dan PITP mensasarkan pelabur-pelabur dari luar negara untuk melabur di Pulau Pinang dan BPO Prime dan PITP dirancang untuk memberi kemudahan kepada mereka untuk ‘work, live and play’ (bekerja, tinggal dan berseronok) di situ.

“Permintaan tempatan untuk ‘kondo mewah’ seharusnya tidak memberi kesan kepada projek ini kerana sasaran kelompok pembeli-pembeli yang berbeza,” katanya.

“Pada 2014, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Temasek Holding Pvt Ltd menandatangani Perjanjian Persefahaman untuk membangunkan BPO dan PITP ini di mana Economic Development Innovations Singapore Pte Ltd (EDIS) akan bertindak sebagai pengurusa utama projek.
“Semasa majlis menandatangani perjanjian persefahaman tersebut, Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng) telah dilaporkan berkata BPO Prime adalah projek kepentingan tinggi dan adalah sebahagian pelan Kerajaan Negeri untuk merubah Pulau Pinang kepada hub ‘outsourcing’ antarabangsa; dan Kerajaan Pulau Pinang berharap untuk menarik lebih banyak pelabur-pelabur antarabangsa ke Pulau Pinang,” kata Zainal Abidin.

Seterusnya beliau mendakwa penangguhan perlaksanaan projek tersebut untuk satu tempoh masa yang tidak ditentukan boleh juga dianggap sebagai membatalkan hasrat untuk meneruskan projek.

“Pengunduran atau penarikan diri Temasek Holdings, sebuah syarikat pelaburan dari Singapura dari meneruskan pelaburan di Pulau Pinang merupakan tamparan hebat kepada Kerajaan Negeri pimpinan Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agong DAP,” dakwanya lagi.

Sehubungan itu, Zainal Abidin meminta pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjelaskan samada penangguhan ini berlaku kerana terdapatnya bekalan berlebihan unit-unit perumahan mewah di Pulau Pinang ataupun kerana pelabur-pelabur sudah hilang keyakinan untuk meneruskan pelaburan mereka di negeri itu, ataupun Kerajaan Negeri telah gagal untuk menarik pelabur-pelabur antarabangsa untuk membuat pelaburan di Pulau Pinang.

Menurut laporan The Edge Markets semalam, dikatakan projek BPO Prime dan PITP yang bernilai RM11.3 billion telah ditunda berikutan keadaan semasa pasaran hartanah.