Aktivis didenda RM10,000 tayang filem belum lulus LPF

 |Mar 22, 2017
Aktivis Lena Hendry didenda RM10,000. – Gambar fail kredit Facebook Lena Hendry.

Seorang aktivis didenda RM10,000 atau penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menayangkan filem yang belum diluluskan Lembaga Penapis Filem (LPF).

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu selepas Lena Rasathi Hendry, 32, didapati bersalah pada 21 Feb lepas kerana menayangkan filem mengenai perang saudara di Sri lanka, ‘No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka’.

Lena, yang pernah bertugas sebagai koordinator di Pusat Komunikasi Masyarakat (Kosmas), didapati melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur, pada pukul 9 malam, 3 Julai 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(b) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM30,000 atau kedua-duanya jika disabitkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz memanggil lapan saksi untuk memberi keterangan semasa perbicaraan sementara tertuduh, diwakili peguam New Sin Yew, memanggil tiga saksi. – Bernama