Akmal Saufi sanggah laporan sertai Pribumi

 |Jul 12, 2017
Akmal Saufi bersama bapanya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (duduk). – Gambar fail kredit Instagram @akmalsaufi.

JOHOR BAHRU: Ketua Penerangan Pemuda Umno Johor Bahru Akmal Saufi Mohamed Khaled hari ini menyanggah laporan portal berita DAP bahawa beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi).

Sebaliknya kata Akmal Saufi, beliau masih bersama Umno dan tidak akan berpaling daripada parti itu.

“Pada hari Isnin, 10 Julai 2017, saya dimaklumkan bahawa sebuah laporan telah disiarkan di laman sesawang milik parti DAP Malaysia. Laporan tersebut secara langsung telah menuduh bahawa saya cenderung dan telah memasuki salah satu parti pembangkang di Malaysia.

“Laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana saya masih menjadi anggota Umno malah terus bergiat berusaha melaksanakan objektif penubuhan Umno,” katanya dalam kenyataan di sini.

Akmal Saufi yang juga anak Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata susulan itu beliau telah mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat kepada DAP untuk menurunkan laporan tidak bertanggunggjawab itu serta membuat permohonan maaf secara terbuka pada kadar segera.

“Umno sebagai sebuah parti telah banyak berbakti kepada negara ini terutama di tempat kelahiran saya, Johor Bahru. Untuk meneruskan bakti tersebut, ia perlu dilestarikan dengan keterusan bakti dari ahli generasi baharu dengan tunjuk ajar dan hikmah ahli-ahli yang lebih berpengalaman.

“Mana mungkin saya akan berpaling tadah kepada amanah dan tanggungjawab ini?,” katanya.

Menurut Akmal Saufi beliau dan rakan segenerasi dalam Umno sedar akan cabaran yang dihadapi negara kini tidak terhad kepada soal keharmonian agama dan bangsa tetapi turut menjangkau hubungan ekonomi antara negara, dan pelbagai lagi

“Percayalah, Umno terus peka dan berusaha merungkai dan sentiasa mencari penyelesaian yang terbaik buat rakyat dan negara,” katanya.

Sehubungan itu juga beliau menasihati pembangkang agar tidak mencari peluang politik murahan dan membuat tuduhan semberono.

“Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan. Paling tidak, tengoklah garis masa (timeline) Instagram saya sebelum buat kenyataan,” katanya. – Bernama