Agen saraf VX dikaitkan dengan kes pembunuhan lelaki Korea Utara

Feb 24, 2017
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar VX, kata Khalid, disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1, Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.
Menurut Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, VX disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1, Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.

Bahan yang digunakan dalam kes pembunuhan warga Korea Utara dipercayai Kim Jong-nam, dikenal pasti sebagai ‘VX Nerve Agent’ yang tersenarai sebagai senjata kimia.

Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebagai berkata, ini dinyatakan dalam laporan awal analisis daripada Jabatan Kimia Malaysia yang diterima Polis Diraja Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata Pusat Analisis Senjata Kimia jabatan itu telah melakukan analisis ke atas beberapa eksibit merangkumi ‘dry swab – eye muscosa’ dan ‘dry swab – face’.

“Hasil analisis bahan uji terlibat dikenal pasti sebagai ethyl S-2-diisopropylaminoethyl methylphosphonothiolate atau VX Nerve Agent’,” katanya.

VX, kata Khalid, disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1, Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.

Menurutnya, beberapa eksibit lain masih dalam proses analisis.

Mengikut laman perubatan, VX adalah salah satu senjata kimia sintetis yang menyerang sistem saraf. Ia memiliki bentuk cair dan berminyak, tidak berasa dan tidak berbau dan hanya 10 miligram sahaja pada kulit cukup untuk membunuh orang.

Pada 13 Feb lepas, lelaki yang dipercayai Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Lelaki itu yang memasuki negara ini dengan menggunakan passport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.