Adun Sungai Air Tawar meninggal dunia

 |Jan 17, 2017
Gambar fail kredit kamarolzaki.blogspot.my.
Gambar fail kredit kamarolzaki.blogspot.my.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik meninggal dunia pagi ini di kediamannya.

Bernama melaporkan kematian beliau disedari pemandunya Mohd Sufaat Salimin di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pagi tadi.

Kamarol Zaki berusia 58 tahun dan juga merupakan Timbalan Ketua Bahagian Umno Sabak Bernam.

Adun Barisan Nasional (BN) itu dikatakan tidak keluar dari rumahnya dan ini menyebabkan Mohd Sufaat bertindak memecahkan pintu. Dia kemudiannya menjumpai Kamarol Zaki terbaring di dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu.

Menurut laporan Sinar Harian, jenazah Kamarol Zaki telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Kamarol Zaki semasa hayatnya merupakan seorang guru sebelum mengambil keputusan bertanding sebagai Adun bagi parti BN.

Beliau juga merupakan bekas guru besar di Sekolah Kebangsaan Air Mawar.

Berdasarkan muatnaik di laman Facebook Mohd Saufaat, pada hari Ahad baru-baru ini, Kamarol Zaki telah merasmikan pertandingan badminton tertutup anjuran bersama Umno cawangan dan JKKKP Kampung Tanjung Jawa.

Pada malam yang sama beliau juga telah hadir di majlis perjumpaan dan jamuan makan malam bersama veteran MAYC Selangor dan Malaysia di Dewan Umno Bahagian Sungai Besar.

Semalam pula beliau masih aktif menghadiri aktiviti di mana beliau hadir di perbincangan bersama Kumpulan Buku Karangkraf di pejabatnya.

Kamarol Zaki menghadiri perbincangan bersama Kumpulan Buku Karangkraf semalam. - Gambar kredit Facebook Kamarol Zaki Abd Malik.
Kamarol Zaki menghadiri perbincangan bersama Kumpulan Buku Karangkraf semalam. – Gambar kredit Facebook Kamarol Zaki Abd Malik.