Adenan Satem meninggal dunia

 |Jan 11, 2017
Gambar fail kredit Facebook Adenan Satem.
Gambar fail kredit Facebook Adenan Satem.

Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem meninggal dunia tengahari tadi.

Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Jantung Hospital Samarahan menurut laporan The Borneo Post.

Beliau berusia 72 dan sepatutnya bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 73 pada 27 Januari ini.

Dilantik sebagai Ketua Menteri bumi kenyalang yang ke 5 pada tahun 2014, Adenan dikenali sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang disayangi ramai.

Perdana Menteri Najib Razak menulis di laman Facebook rasminya bahawa beliau menerima perkhabaran mengenai Adenan dan akan ke Sarawak untuk menziarahi jenazah.

“Jasa Allahyarham kepada negeri dan rakyat negeri Sarawak amat besar, dan Malaysia telah kehilangan seorang pemimpin amat berwibawa. Moga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah,” tulis Najib lagi.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut melahirkan ucapan takziahnya kepada keluarga Adenan menerusi akaun Twitternya @khairykj.

“Takziah kepada Puan Sri Jamilah dan keluarga dan rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah ketua menteri TS Adenan Satem. Al Fatihah,” kata Khairy.

Adenan yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) kawasan Tanjung Datu meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Ucapan takziah juga berterusan memenuhi ruang media sosial.

Antaranya daripada penasihat DAP Lim Kit Siang menulis di laman Twitternya, “Al-fatihah TS Adenan Satem. Ucapan takziah buat keluarganya. Malaysia dan Sarawak kehilangan pemimpin hebat yang berwawasan.” (Al-fatihah TS Adenan Satem. Deepest condolences to bereaved family. Malaysia and Sarawak have lost great visionary leader.)

Adenan semasa hayatnya juga boleh dikatakan aktif mendekati masyarakat melalui laman Facebook rasminya.

Muatnaik terakhir beliau adalah pada 24 Disember tahun lalu di mana beliau berkongsi sekeping gambar diambil bersama isterinya Jamilah Anu.

Bersama gambar itu, Adenan membuat refleksi terhadap tahun 2016 yang beliau sifatkan sebagai satu tahun yang telah menyaksikan pelbagai perubahan penting yang dapat membentuk negeri Sarawak yang lebih baik untuk generasi akan datang.

“Perjalanan kita bersama akan diteruskan tahun hadapan dengan ketabahan yang lebih kuat, kesungguhan dan semangat keharmonian yang unik bagi kita di Sarawak,” merupakan antara pesanan yang disampaikan di dalam muatnaiknya itu.