‘Adenan pemimpin yang memahami sentimen rakyat’

 |Jan 11, 2017
Gambar kredit Facebook Adenan Satem.
Gambar kredit Facebook Adenan Satem.

Jelas bahawa Adenan Satem merupakan seorang pemimpin yang disegani dan disanjungi ketika hayatnya.

Dikenali sebagai seorang individu yang mesra rakyat, berita pemergian beliau hari ini menyaksikan pelbagai pihak tidak putus-putus menyampaikan ucapan takziah sambil memuji kewibawaan beliau menerajui tampuk pimpinan negeri Sarawak sejak tahun 2014.

Adenan yang merupakan Adun Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Tanjung Datu meninggal dunia tengahari tadi di Pusat Jantung Hospital Umum Samarahan.

Perdana Menteri Najib Razak melalui laman Facebooknya menyampaikan ucapan takziah dan memberitahu beliau akan ke Sarawak untuk menziarahi jenazah.

Barisan Kabinet BN turut berkongsi rasa sedih mereka di atas pemergian Adenan.

“Takziah kepada Puan Sri Jamilah dan keluarga dan rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah ketua menteri TS Adenan Satem. Al Fatihah,” kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menerusi laman Twitternya.

Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai juga menerusi laman Twitternya berkata, “Salam takziah kepada Puan Sri Jamilah dan keluarga serta seluruh Rakyat Sarawak diatas pemergian Tan Sri Adenan Satem, ketua menteri Sarawak. Malaysia kehilangan seorang pemimpin yang hebat hari ini.”

Ketua Menteri Sabah Musa Aman berkata beliau bukan sahaja kehilangan rakan sejawatan tetapi juga seorang sahabat baik.

“Kita kehilangan seorang pemimpin yang baik dan berpandangan jauh, yang memahami sentimen rakyat,” kata Musa menerusi laman Facebook rasminya.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang kini berada di Beijing untuk lawatan kerja berkata beliau dan rakan-rakan lain di dalam BN bertekan akan memenuhi segala aku janji dan komitmen mereka kepada Sarawak.

Menurut laporan Bernama, Ahmad Zahid berkata demikian di dalam satu sidang media di hotel penginapannya di Beijing hari ini.

“Beliau seorang yang lembut dalam percakapan tetapi tegas dalan tindakannya, lebih-lebih lagi ketika membuat keputusan,” katanya, merujuk kepada keperibadian Adenan.

Ahmad Zahid turut menyampaikan ucapan takziahnya kepada isteri Adenan, Jamilah Anu, anak-anak serta keluarganya dan seluruh rakyat negeri Sarawak.

Setiausaha Agung PAS Takiyudin Hassan di dalam satu kenyataan juga menyampaikan ucapan takziah bagi pihak PAS dan berharap agar rakyat Sarawak serta keluarga Adenan tabah dan bersabar di atas ujian Allah SWT ini.

“Sesungguhnya, pemergian Allahyarham, seorang yang sangat berkaliber dan disenangi rakyat merupakan satu kehilangan besar buat negeri Sarawak dan Malaysia sendiri secara amnya,” kata Takiyudin.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata di laman Twitternya, “Al-fatihah TS Adenan Satem. Ucapan takziah buat keluarganya. Malaysia dan Sarawak kehilangan pemimpin hebat yang berwawasan.”

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) Muhyiddin Yassin di dalam satu kenyataan menyampaikan rasa terkejutnya di atas berita pemergian Adenan.

“Saya kenali Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang tegas, adil dan berjiwa rakyat. Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat keseluruhan rakyat Sarawak dan Malaysia,” kata Muhyiddin yang turut memaklumkan bahawa beliau dan Mukhriz Mahathir akan menziarahi jenazah Adenan di rumahnya di Santubong.

Ucapan takziah yang membanjiri laman sosial pula tidak terhad kepada ahli politik sahaja. Turut sama berkongsi rasa sedihnya ialah atlet terjun Olimpik negara Pandelela Rinong.

“Berita yang menyedihkan buat semua rakyat Sarawak dan pasti juga saya. Ketua Menteri kita yang disayangi Adenan Satem telah meninggal dunia,” katanya di laman Twitter.

Syarikat telekomunikasi Digi juga berkongsi sekeping gambar Adenan Satem berserta madah yang pernah diungkapkan beliau, “Kita idup mesti berguro, baruk panjang umor…Tok muka menjus jak jak, susah juak.”

Digi turut menyampaikan salam takziah kepada keluarga Adenan atau Tok Nan dan juga rakyat Sarawak yang disayangi pemimpin itu.