Ada pihak nak gagalkan siasatan semula ke atas skandal BMF, Forex

 |Mar 15, 2017
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Ramesh Rao.

Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) ada maklumat bahawa kini ada gerakan yang cuba menghalang siasatan kerajaan ke atas skandal Bumiputera Finance Malaysia (BMF) dan skandal dagangan mata wang asing (Forex) dari diteruskan.

Presiden PMSP Ramesh Rao berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan dari sumber yang ada kredibiliti dan ia difahamkan melibatkan gerakan yang besar.

“Ada cubaan pihak tertentu cuba berunding dengan Interpol (polis antarabangsa), untuk tidak membuka semula kertas siasatan kerugian BMF dan pembunuhan Jalil Ibrahim di Hong Kong,” kata Ramesh dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ada pihak bimbang berkenaan kes itu kerana jika siasatan dibuka semula kerana ia mengaitkan banyak nama-nama besar dalam politik dan perniagaan pada masa itu.

“Kenapa pihak berkenaan takut sangat?” tanya Ramesh.

Antara yang disebut-sebut terlibat termasuk nama yang disebut dalam laporan Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) – Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan perdana menteri Malaysia.

Pihak CIA menyalahkan pentadbiran Mahathir tahu berkenaan skandal itu dan dikatakan tiada siasatan yang betul-betul menyeluruh diadakan untuk mengesan dalang dan penjenayah sebenar dalam kedua-dua skandal itu.

Ramesh berkata beliau yakin siasatan untuk kes berkenaan akan dibuka semula dan ia akan dijalankan secara terperinci.

“Kes BMF dan pembunuhan Jalil Ibrahim serta kes Forex melibatkan Bank Negara pasti dibuka untuk siasatan supaya integriti Interpol tidak terjejas seterusnya kerana kesilapan yang lepas,” katanya.

Jalil Ibrahim dibunuh di Hong Kong pada tahun 1983 selepas beliau dipercayai tahu skandal antara BMF dan sebuah syarikat perniagaan Carrian Group yang berpangkalan di Hong Kong.

Ketika dokumen CIA itu didedahkan di media, Mahathir dengan segera menuduh CIA mempunyai niat jahat ke atas dirinya kerana beliau dahulunya kerap mengkritik Amerika dan agensi berkenaan.

“Orang semua tahu, nada kenyataan Mahathir itu ada kebimbangan kerana bimbang penglibatannya dalam skandal berkenaan akan terbongkar dan kini beliau tidak ada kuasa untuk menghalang apa-apa kerana beliau bukan perdana menteri lagi,” kata Ramesh.

Bulan lalu, kabinet telah bersetuju tubuh satu pasukan khas dikepalai bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Sidek Hassan untuk siasat kerugian dialami Bank Negara dalam perniagaan Forex pada zaman pemerintahan Mahathir.