Abdul Rahman Dahlan bidas kenyataan pengarah SPRM

Jan 3, 2017
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan berkata terdapat sebab kenapa fungsi menyiasat, mendakwa dan menghukum diasingkan dalam sistem perundangan kita. - Gambar fail kredit Facebook Dato' Abdul Rahman Dahlan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan berkata terdapat sebab kenapa fungsi menyiasat, mendakwa dan menghukum diasingkan dalam sistem perundangan kita. – Gambar fail kredit Facebook Dato’ Abdul Rahman Dahlan

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Abdul Rahman Dahlan berpendapat kenyataan yang dikatakan dikeluarkan oleh Bahri Mohammad Zin tidak sepatutnya dibuat oleh bekas pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan bahawa Bahri bertindak bersara awal kerana kecewa kes siasatan SRC International tidak dibawa ke mahkamah. Namun di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan SPRM, suruhanjaya itu berkata Bahri telah menafikan mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Sepertimana yang kita tahu, Peguam Negara telah menyatakan bahawa setelah diteliti dengan mendalam pendakwaan tidak akan dibuat dalam kes ini. Saya cuma mahu sentuh tiga perkara dalam kenyataan Datuk Bahri yang pada pandangan saya tidak sepatutnya dibuat oleh beliau,” kata Abdul Rahman.

“Pertamanya, ada sebab kenapa fungsi menyiasat, mendakwa dan menghukum diasingkan dalam sistem perundangan kita. Tujuannya ialah untuk mengelakkan mana-mana pihak daripada menyalahgunakan kuasa mereka. Ini boleh berlaku jika pihak yang menyiasat juga diberikan kuasa untuk mendakwa. Apatah lagi kalau kuasa untuk mengadili juga diberikan kepada pihak yang sama.

“Sistem perundangan kita sekarang memisahkannya kepada tiga pihak. Kuasa menyiasat diberikan kepada pihak penyiasat seperti Polis dan SPRM.

“Kuasa mendakwa diberikan kepada Peguam Negara dan kuasa menghukum diberikan kepada hakim atau mahkamah,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Abdul Rahman berkata perkara ini dibuat supaya terdapa elemen ‘semak dan imbang’ di dalam sistem perundangan bagi mengelak mana-mana pihak dari menyalahguna kuasa mereka untuk menganiaya.

“Maknanya kalau pihak penyiasat mempunyai niat untuk menganiaya orang yang disiasat, maka pihak yang mendakwa boleh menghalang niat tidak baik itu. Kalau pihak penyiasat dan pendakwa pula bersengkongkol untuk menganiaya orang yang disiasat dengan mendakwa orang yang disiasat itu, maka pihak mahkamah (hakim) boleh menjadi penghalang kepada niat buruk mereka itu.”

Mengenai kes siasatan SRC International, Abdul Rahman berkata, hanya kerana Peguam Negara tidak bersetuju dengan rumusan Bahri, tidak bermakna Peguam Negara telah melakukan kesalahan dan tidak mempunyai integriti.

“Saya bagi satu contoh dalam konteks kes yang dihadapkan ke mahkamah rayuan atau mahkamah persekutuan. Jika seorang yang dituduh dibebaskan oleh mana-mana mahkamah dan pihak pendakwa tidak berpuas hati dan membawa kes itu ke mahkamah rayuan atau mahkamah persekutuan, kes itu selalunya diadili oleh tiga atau lima orang hakim secara serentak. Hakim-hakim yang bijaksana ini kadang-kadang mempunyai pandangan berbeza terhadap fakta-fakta kes yang sama yang dihujah oleh pihak pendakwa dan pihak pembela dalam mahkamah rayuan atau mahkamah persekutuan. Ada masanya keputusan mahkamah rayuan atau mahkamah persekutuan ialah dua satu (2-1) atau tiga dua (3-2).

“Kenapa mereka mempunyai pandangan yang berbeza dalam menghakimi kes yang sama? Patutkah kita melemparkan tuduhan bahawa hakim yang tidak bersetuju itu adalah seorang hakim yang telah dibeli atau hakim yang tidak ada integriti? Sudah tentu tidak. Kita terima dan redha dengan keputusan mahkamah seadanya.”

Tambah Abdul Rahman, semasa beliau menjadi ahli Jawatankuasa SPRM Mengenai Rasuah dahulu, beliau pernah dimaklumkan bahawa terdapat banyak kes-kes yang disiasat oleh SPRM tidak dituduh di mahkamah oleh Peguam Negara atas berbagai sebab.

“Antaranya ialah kerana tidak cukup bukti, penyiasatan yang gopoh dan ketiadaan merit untuk pendakwaan. Kenapa dalam kes-kes tersebut, Datuk Bahri tidak bangkitkan ketidakpuasan hati beliau secara terbuka? Kenapa hanya dalam kes yang membabitkan Perdana Menteri yang diungkit? Hakikatnya kes SRC bukanlah satu-satunya yang tidak didakwa oleh Peguam Negara.

“Puluhan, malahan ratusan kes yang telah disiasat oleh SPRM dan BPR (Biro Pencengahan Rasuah iaitu agensi anti rasuah sebelum SPRM ditubuhkan) tidak didakwa oleh Peguam Negara atas sebab-sebab tertentu walaupun SPRM merasakan boleh sabit kesalahan. Kita tidak dengar pun Datuk Bahri memberikan kenyataan “menghina dan memperlekeh” Peguam Negara! Akhir sekali, saya berpandangan walaupun SPRM adalah satu agensi kerajaan yang penting dan perlu didokong, saya juga berpandangan bahawa SPRM tidak boleh beroperasi tanpa elemen “semak dan imbang”,” katanya lagi.

“Inilah penyakit yang telah menimpa BPR dahulu. Oleh kerana persepsi rakyat pada waktu itu bahawa BPR adalah agensi yang korup, boleh diperkudakan untuk kepentingan politik oleh sesetengah pihak dan boleh menyalahgunakan kuasa mereka, maka gandingan kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak telah menubuhkan agensi baru iaitu SPRM dengan sistem “semak dan imbang” yang lebih berkesan dalam bentuk beberapa jawatankuasa yang diperuntukan di dalam Akta SPRM. Jawatankuasa-jawatankuasa ini dibentuk untuk mengelak SPRM dari persepsi negatif yang telah melanda BPR sebelum ini,” tambahnya.

Bahri disahkan oleh SPRM sebagai memilih untuk bersara lebih awal, di mana beliau telah membuat permohonan enam bulan yang lalu. Persaraannya berkuatkuasa 30 Disember, 2016.

Artikel berkaitan:

SPRM sahkan Bahri memilih untuk bersara lebih awal

Pengarah SPRM bersara awal kerana ‘kecewa’