Abang Johari pilihan yang tepat, kata Ibrahim Ali

 |Jan 14, 2017
Presiden Perkasa Ibrahim Ali. - Gambar fail kredit Ibrahim Ali.
Presiden Perkasa Ibrahim Ali. – Gambar fail kredit Ibrahim Ali.

Pelantikan Abang Johari Abang Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru disifatkan sebagai pilihan tepat oleh presiden Perkasa Ibrahim Ali.

Ini katanya berdasarkan hierarki kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta rekod cemerlang Abang Johari sebagai wakil rakyat selama sembilan penggal.

“Pengalamannya tidak sedikit dengan begitu lama dalam kerajaan namun bebas dan sifar dari apa jua cemuhan dan tidak pernah kita dengar apa jua isu kontroversi terhadap dirinya,” kata Ibrahim di dalam satu kenyataan semalam.

Ibrahim juga berkata Abang Johari tidak pernah terpalit dengan skandal atau dibelenggu persepsi rasuah atau moral terhadap dirinya.

“Hebat rekod bersihnya dan rakyat Sarawak sewajarnya bersyukur dan gembira mendapat seorang pemimpin yang sangat bersih dan berpengalaman ini.”

Justeru, Perkasa menyampaikan harapan kepimpinan Abang Johari dapat memantapkan hubungan di antara Sarawak dan kerajaan Persekutuan dan tidak terikut desakan melampau dari pihak-pihak berkepentingan serta mendaulatkan Perlembagaan Negara dan dasar-dasar nasional negara.

Perkasa juga berharap kepimpinan baru ini tidak akan terbawa-bawa dengan sentimen serta desakan kenegerian.

“Perkasa yakin Abang Johari adalah pemimpin permata patriotisma nasional dan memberi keutamaan dan melindungi dengan tegas kepentingan kaum pribumi yang terpahat di dalam Perlembagaan Negara dan negeri Sarawak serta hak lain-lain kaum yang sah,” kata Ibrahim lagi.

Abang Johari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang keenam semalam.

Beliau menggantikan Adenan Satem yang meninggal dunia pada hari Rabu lalu akibat komplikasi jantung.