Abang Johari Ketua Menteri Sarawak ke-enam

 |Jan 13, 2017
Abang Johari Abang Openg bakal mengangkat sumpah bagi jawatan KM Sarawak hari ini. - Gambar fail kredit laman rasmi Kementerian Perumahan Sarawak.
Abang Johari Abang Openg bakal mengangkat sumpah bagi jawatan KM Sarawak hari ini. – Gambar fail kredit laman rasmi Kementerian Perumahan Sarawak.

Persoalan siapa bakal menggantikan tempat Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak kini sudah terjawab.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengumumkan bahawa Timbalan Ketua Menteri Abang Johari Abang Openg bakal mengangkat sumpah bagi jawatan tersebut pada jam 4 petang nanti.

Menurut laporan New Straits Times, pengumuman tersebut dibuat oleh naib presiden kanan parti itu Awang Tengah Ali Hasan di kediaman Yang di-Pertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud hari ini.

Abang Johari yang merupakan ahli dewan undangan negeri (Adun) Satok bakal mengambil tempat sebagai Ketua Menteri bumi Kenyalang yang keenam.

Kekosongan jawatan Ketua Menteri itu adalah berikutan kematian Adenan Satem pada Rabu lalu.

Adenan yang menerajui tampuk pimpinan Sarawak sejak tahun 2014 meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Samarahan akibat komplikasi jantung.

Majlis mengangkat sumpah akan berlangsung di Astana Negeri.