Abang Johari beri penerangan rancangan membangunkan LRT di Sarawak

 |May 29, 2017
Gambar fail Wikiwand.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini memberi penerangan rancangan membangunkan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Nancy, menteri yang bertanggungjawab ke atas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak dan Sabah berkata penerangan tersebut antara perkara dibincangkan dalam pertemuan hampir sejam itu.

“Kunjungan hormat saya ke atas ketua menteri hari ini adalah bagi memberi penerangan mengenai jawatan dan portfolio saya terutama berkaitan dengan Sarawak dari segi pengangkutan awam darat.

“Kita sudah mendengar ketua menteri bercakap mengenai LRT di Sarawak jadi saya perlu mengetahui apa yang dihasrat beliau dan bagaimana saya boleh membantu sebagai menteri Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di Kuching, hari ini.

Pada Mac lepas, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak akan merangka pelan jangka panjang pengangkutan awam termasuk memperkenalkan LRT bagi menghubungkan Kuching, Samarahan, dan Serian yang akan mengambil masa perjalanan 30 minit sahaja.

Mengulas lanjut, Nancy berkata selaian itu dalam pertemuan tersebut beliau selaku Anggota Parlimen Batang Sadong turut menyampaikan hasrat serta keperluan masyarakat kawasan yang diwakilinya kepada ketua menteri.

“Perbincangan turut berkisar mengenai keperluan di kawasan saya seperti perumahan, program-program untuk masyarakat, masalah lesen perniagaan dan lain-lain lagi,” katanya sambil menambah perkara itu mendapat reaksi positif Abang Johari. – Bernama