Abang Johari angkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sarawak

 |Jan 13, 2017
Gambar fail Wikipedia.
Gambar fail Wikipedia.

Abang Johari Abang Openg, 66, hari ini dilantik sebagai Ketua Menteri baharu Sarawak menggantikan Adenan Satem yang meninggal dunia Rabu lepas.

Timbalan presiden parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu yang lengkap berpakaian baju Melayu hitam, mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua menteri Sarawak keenam di hadapan Yang Dipertua Negeri Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri, kediaman rasmi ketua negeri pada 4.10 petang.

Upacara itu disaksikan isteri beliau Jumaani Tuanku Bujang, anggota-anggota Kabinet negeri, anggota Dewan Undangan Negeri dan kakitangan kanan awam.

Abang Johari atau dikenali mesra dengan nama Abang Jo, merupakan seorang daripada tiga timbalan ketua menteri di bawah pentadbiran Adenan, selain Douglas Uggah dan James Masing.

Merupakan seorang ahli politik veteran, Abang Johari berkecimpung dalam politik lebih daripada 30 tahun. Beliau merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi kawasan Satok selama sembilan penggal.

Abang Johari yang berkelulusan ijazah pentadbiran perniagaan dari Universiti Brunel United Kingdom, pertama kali bertanding bagi kerusi itu, pada 1981.

Beliau mempunyai 10 orang adik beradik daripada keluarga ternama Sarawak yang mempunyai sejarah panjang di negeri ini.

Allahyarham bapanya Abang Openg merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak pertama selepas Sarawak mencapai kemerdekaan daripada Britain dan selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

Adenan yang memegang jawatan Ketua Menteri selama hampir tiga tahun, meninggal dunia Rabu lepas kerana komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak, Hospital Umum Kota Samarahan. – Bernama