5,000 wanita berpeluang jalani pemeriksaan kanser payudara percuma

 |Jul 11, 2017
Pengerusi Etiqa Insurance Berhad, Datuk R. Karunakaran (dua dari kiri) dan Penaung NCSM, Tan Sri Rafidah Aziz (tengah) bergambar selepas menandatangi perjanjian kerjsama antara Etika dan NCSM di Kuala Lumpur, hari ini. – Foto MO Noraizura Ahmad.

KUALA LUMPUR: Seramai 5,000 wanita di negara ini berpeluang menjalani pemeriksaan kanser payudara secara percuma yang dianjurkan Etiqa bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bermula tahun ini.

Program tersebut yang bernilai RM1.67 juta bagi tempoh setahun ini mensasarkan wanita yang kurang berkemampuan berumur 40 tahun dan ke atas.

Pengerusi Etiqa Insurance Berhad, Datuk R. Karunakaran berkata, program tersebut meningkatkan kesedaran di kalangan wanita yang kurang berkemampuan mengenai pentingnya pengesanan awal.

Menurutnya, wanita yang layak menyertai program ini akan dibawa ke Klinik Saringan Kanser dan Kesihatan NCSM di Kuala Lumpur atau hospital atau hospital yang dilantik di seluruh negara untuk mendapatkan khidmat mamogram percuma.

“Semua wanita disarankan untuk memeriksa dan memastikan status kesihatan mereka melalui pemeriksaan berkala kerana pengesanan awal dapat meingkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit.

“Tuntutan insurans untuk kanser adalah yang tertinggi di antara semua tuntutan penyakit kritikal dan ianya menyumbang sebanyak 86% daripada tuntutan insurans penyakit kritikal wanita, manakala tuntutan kanser payudara merupakan tuntutan tertinggi sebanyak 48%,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Penaung NCSM, Tan Sri Rafidah Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Ageas Holdings Berhad, Kamaludin Ahmad dan Presiden dan Pengarah Perubatan NCSM, Dr Saunthari Somasundaram.

Rafidah dalam ucapannya turut menyarankan orang ramai untuk mencegah penyakit kanser dengan menjalani pemeriksaan dan tidak mengambil ringan akan tanda penyakit tersebut.

Sementara itu, Kamaludin berkata, program tersebut telah bermula di Cameron Highlands Jumaat lalu dengan melibatkan 200 wanita.

Menurutnya, wanita yang dipilih adalah individu yang berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah dan pemilihan peserta dibuat dengan kerjsama daripada pemimpin tempatan.

“Mereka yang dipilih tidak semestinya terdiri daripada pelanggan kami dan program ini terbuka kepada semua,” katanya. – MO