40 sukarelawan MyCorps ke Bangladesh dan Sri Lanka

 |Aug 9, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Seramai 40 belia akan menyertai misi sukarelawan MyCorps ke Bangladesh dan Sri Lanka selama dua bulan bagi membantu mereka yang memerlukan di sana.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 483 permohonan diterima dan hanya 40 belia yang dipilih untuk mewakili Malaysia di dua negara berkenaan.

Menurutnya, semua belia yang berusia 18 hingga 30 tahun akan ditempatkan di Bangladesh dan Sri Lanka selama dua bulan bagi menjalankan program bersama sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) di sana.

“Di Bangladesh, mereka ini akan membantu pelarian Rohingya yang menjadikan kawasan tersebut sebagai destinasi utama melarikan diri daripada Myanmar.

“Di Sri Lanka pula mereka ini akan membantu usaha pemulihan negara tersebut daripada kesan perang saudara,” katanya pada Majlis Ramah Mesra peserta MyCorps Asia Selatan di Pusat Belia Antarabangsa di sini, hari ini.

Khairy berkata, semua peserta yang dipilih mempunyai kepakaran tersendiri yang dapat memberi sumbangan kepada misi berkenaan.

Menurutnya, ini adalah kali pertama pihaknya menghantar belia ke negara Asia Selatan itu.

Jelasnya, mengenai isu keselamatan peserta, satu kerjasama dengan sukarelawan dan NGO yang berada di dua negara tersebut telah diperkukuhkan bagi bersama menjaga keselamatan di antara satu sama lain.

“Dalam konteks keselamatan, kita sudah membuat perancangan yang terbaik namun tetap menasihatkan peserta untuk menjaga keselamatan masing-masing.

“Risiko memang ada tetapi kita akan sentiasa memantau dan bertindak serta merta jika berlaku keselamatan,” katanya. – MO