Abang dipercayai rogol adik lebih 10 kali hingga hamil

 |Aug 9, 2017

PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki ditahan kerana dipercayai melakukan sumbang mahram terhadap adik kandungnya yang berusia 13 tahun sehingga hamil di sebuah rumah di Kampung Baru Cina, Semenyih.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kejadian tersebut disedari selepas bapa mangsa berusia 42 tahun menyedari perubahan pada perut mangsa dan melakukan pemeriksaan sebelum disahkan hamil tujuh bulan.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Semenyih pada Jumaat lalu kira-kira jam 10.30 pagi oleh bapanya dan pemeriksaan mendapati mangsa disahkan hamil.

“Mangsa mengaku telah dirogol oleh abang sulungnya sebanyak 10 kali sejak Oktober tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika bapa mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan keluar bekerja.

Mangsa dikatakan tinggal bersama bapanya dan lima lagi adik-beradik yang lain manakala ibu mangsa sudah melarikan diri sejak sebulan lalu.

Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan semalam kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam bagi membantu siasatan.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek yang masih bersekolah itu direman selama lima hari bermula semalam hingga Ahad.

Difahamkan, mangsa kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram. – MO