Parti Melayu dalam Pakatan Harapan ‘senyap’ isu bakal menteri DAP kata Zaid

 |Apr 17, 2018
Gambar fail kredit Twitter Zaid Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Anggota DAP, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan parti Melayu dalam Pakatan Harapan seperti ‘senyap’ selepas parti Cina dalam pakatan pembangkang itu mengumumkan sudah ada dua bakal menteri.

“Parti Cina dalam Pakatan harapan umumkan mereka sudah ada dua bakal menteri. Mungkin akan ada lagi.

“Parti-parti Melayu senyap saja dalam isu itu. Begitu biasanya sikap Melayu, malu dan
segan untuk suarakan pendapat. Tiada apa yang berubah,” tulisnya di Twitter.

Zaid dalam postingnya di Twitter hari ini menyifatkan parti Cina tersebut adalah DAP iaitu parti yang dianggotainya.

Foto: Twitter Zaid Ibrahim

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming akan dilantik sebagai menteri pusat jika HARAPAN memang dalam PRU pada 9 Mei ini.

Lim berkata demikian ketika mengumumkan Nga sebagai calon parlimen Teluk Intan malam tadi.

Sebelum itu, Lim telah menjanjikan kedudukan sama kepada Pengerusi DAP Johor Liew
Chin Tong.

Kedua-dua Nga dan Liew akan berdepan dengan menteri BN di tempat masing-masing.

Zaid sebelum ini antara tokoh yang dibawa masuk DAP ke dalam parti itu bagi menangkis
imej parti Cina yang dilontar pada mereka.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dikatakan tidak mendapat ruang untuk
bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Zaid sebelum ini mendakwa menerima tawaran bertanding di ‘kerusi glamor luar bandar’
daripada Parti Peribumi Bersatu Kelantan, namun beliau menolak tawaran tersebut.

“Saya bukan superman, (saya) tidak boleh lakukan kerja yang baik dalam tiga minggu. Jadi, saya tolaknya,” katanya di Twitter.

Pada 12 April lalu, Zaid menyamakan dirinya dengan pemimpin veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw yang tidak dinamakan lagi sebagai calon kerusi Parlimen Kepong, yang dipegangnya selama lapan penggal.

Menurutnya, Tan dibuang selepas 30 tahun, manakala dirinya selepas 12 bulan.