Kedaulatan negara tidak akan dikompromi – Najib

 |Apr 17, 2018

KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan sekali-kali berkompromi
dengan hal-hal yang membabitkan kedaulatan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pelbagai langkah telah diambil dalam memastikan negara dan
rakyat Malaysia terus berada dalam keadaan aman serta harmoni termasuk meluluskan
Akta Majlis Keselamatan Negara dan Akta Pencegahan Keganasan.

Selain itu, Najib yang juga Pengerusi BN berkata Akta Antiberita Tidak Benar 2018
juga telah dikuatkuasakan bagi melindungi rakyat daripada tempias berita palsu yang
semakin berleluasa.

Menjelas lanjut, beliau berkata berita palsu dan tidak benar mungkin nampak remeh
tetapi sebenarnya membawa ancaman keselamatan yang besar seperti yang berlaku di
beberapa negara apabila berita palsu digunakan pihak luar sebagai alat untuk campur
tangan dalam proses demokrasi negara berkenaan.

“…dan yang menghairankan perkara ini disokong oleh sesetengah pemimpin pembangkang!
Masa depan negara kita perlu ditentukan oleh rakyat Malaysia berasaskan fakta, bukan
berita, janji atau harapan palsu semata-mata!,” katanya dalam catatan di laman blog
www.najibrazak.com hari ini.

Najib turut melahirkan rasa kesal kerana usaha kerajaan sedikit sebanyak diganggu
oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup membelakangkan negara dan
meminta campur tangan negara asing hanya kerana tamakkan kuasa.

Menjelang pilihan raya umum ke-14 yang akan berlangsung 9 Mei ini, beliau berkata BN
akan terus melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif seperti yang digariskan dalam
manifesto parti itu, jika terus diberi mandat oleh rakyat.

Ia termasuk menambah pos kawalan dan sistem pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia
– Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan AKSEMNET; mentransformasi pasukan
elit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti Pasukan Khas Taktikal Perisikan
Narkotik (STING), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan
Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) demi keamanan rakyat.

Selain itu, menyebar luas usaha menentang keganasan dan ekstremisme melalui Gerakan
Kesederhanaan Global (GMM); meningkatkan pembabitan masyarakat dalam pencegahan
jenayah menerusi inisiatif PDRM menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol;
menubuhkan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) di bawah Kementerian Pertahanan;

Meluaskan diplomasi pertahanan serantau dengan negara-negara jiran yang berkongsi
sempadan; meneruskan usaha menyebar luas idea keamanan dan kesederhanaan dalam negara
dan antarabangsa menerusi penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman; serta
meneruskan usaha pemodenan PDRM ke seluruh negara.

“Sesungguhnya saya yakin dan percaya, selagi mana Barisan Nasional terus menerajui
kepimpinan Malaysia, dengan izin Allah, negara akan terus aman makmur dan sejahtera
malah makin berjaya di masa hadapan. Bersama BN, Hebatkan Negaraku!,” katanya.- Bernama