Pembangkang jangan terlalu ghairah main isu perkauman dan fitnah media sosial

 |Apr 16, 2018
Gambar fail kredit umnobahagiancheras.blogspot.my.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan blok pembangkang jangan terlalu ghairah semarakkan sentimen perkauman dan bermain dengan isu fitnah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Katanya, menyalakan api perkauman dan menabur serangan fitnah menerusi laman-laman sosial untuk menagih undi dikhuatiri akan mencetuskan suasana tidak tenteram dalam masyarakat.

“Blok pembangkang (Pakatan Harapan) diingatkan jangan terlalu ghairah untuk memenangi PRU dengan membakar sentimen perkauman, perbuatan itu bertentangan dengan semangat perpaduan yang dipupuk selama ini,” tegasnya dalam entri terbaharunya umnobahagiancheras.blogspot.my.

Jelasnya lagi, ini berbeza dengan apa yang telah diusahakan oleh Barisan Nasional (BN), atas semangat perpaduannya berjaya menjadikan rakyat negara ini yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan pelbagai agama hidup dalam suasana aman.

“Inilah salah satu kejayaan terbesar UMNO dan BN, berjaya membina sebuah negara bangsa yang paling unik di dunia, perpaduan sedemikian perlu kita pertahankan,” ujarnya.

Sebaliknya jelas Syed Ali, meruntuhkan semangat perpaduan kerana agenda politik akan melahirkan keadaan yang boleh menimbulkan ketegangan dan permusuhan antara satu sama lain.

Dalam hal ini menurut beliau, Pakatan Harapan perlu mengawal emosi dan tingkah laku mereka sehingga boleh mencemari proses berkempen dan hari pembuangan undi.

Justeru, beliau menyambut baik tindakan tegas pihak polis yang akan memberi tumpuan di beberapa lokasi panas pada PRU kali ini.

“Saya amat berharap pihak polis dan pasukan keselamataan akan bertegas dalam hal sebegini dan mengambil tindakan pantas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang sengaja mencetuskan kacau bilau,” tegasnya lagi.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras itu juga, UMNO khususnya BN akan menjalakan kempen secara berhemah dan menjelaskan kepada rakyat mengapa mereka perlu menolak calon pembangkang.

“UMNO tidak akan bermain dengan fitnah, UMNO tidak akan bermain dengan emosi, sebaliknya akan meyakinkan rakyat bahawa manifesto BN adalah janji yang mampu ditunaikan jika kita (BN) kekal memerintah,” katanya.

Beliau mendakwa Pakatan Harapan yang mengemukakan manifesto yang pelbagai seperti ‘jualan murah’ hanya sekadar taburan janji yang tidak akan menjadi kenyataaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali menjelaskan penggunaan lambang ‘mata Keadilan” oleh parti-parti pembangkang dalam Pakatan Harapan tidak akan memberi saingan sengit kepada BN.

Malah katanya, penggunaan logo PKR hanya akan menguntungkan Dap yang ingin mengelirukan rakyat terutamanya mengemis undi Melayu di beberapa kawasan yang mereka tandingi.

Syed Ali juga menolak dakwaan pembangkang kononnya UMNO Wilayah Pesrekutuan bertelagah berhubung pemilihan calon di beberapa kerusi Parlimen.

“Karut, dakwaan itu fitnah dan propaganda murahan pembangkang. UMNO Wilayah Pesrekutuan ‘solid’, kita akur apa juga keputusan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak,” tegasnya. – Media UMNO.