Gambar jadi bahan kempen politik: Gadis poster buat laporan polis

 |Apr 16, 2018
Foto: Twitter Aidaazira

KUALA LUMPUR: Seorang gadis kesal apabila gambarnya digunakan sebagai bahan berkempen politik menggunakan simbol pembangkang sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menerusi perkongsian Aida Azira di laman twitternya meluahkan rasa kesal dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab mengubah suai gambar peribadinya sebagai poster tanpa kebenaran.

“Kalau boleh saman and aku tahu siapa buat gambar ni sumpah aku maki . Kau mesti orang politik dah 21 ke atas. Suka suka hati kau nak guna gambar aku. Sumpah aku tak halalkan, makin benci pulak aku dengan politik . Over the limit lah orang zaman sekarang,” tulisnya.

Foto Aida Azira, 19, digunakan dalam poster kempen menyokong calon yang menggunakan logo PKR dan tertera “Bang…Pilih Biru Muda Saja Tau Bukan Bini Muda” menjadi tular di laman sosial sejak Jumaat lalu.

“Dah lah curi gambar orang . Lepastu buat poster tah apa apa . Nak kempen , kempen jelah. Tak payah lah mengacah suruh orang jangan cari bini muda lah apalah.

“Kalau gambar perempuan lain mungkin yelah diorang boleh terima sebab diorang sendiri tangkap dengan bendera parti masing2 . Aku apa ke mengena,” tulisnya.

Menurutnya, mengaku malu serta tertekan apabila ramai rakan termasuk pensyarah, bertanyakan mengenai gambar berkenaan dan turut menjadi gambar muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.

Dia mahukan permohonan maaf daripada pihak yang tidak bertanggungjawab ‘mencuri’ gambar peribadinya kerana mereka sudah melakukan perkara yang melampaui batas.

Susulan kejadian itu, Aida sudah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“So biar polis cek siapa yang buat kerja ni. Elok pon benda ni viral , dapat jadi pengajaran . Kalau tak asyik kena tindas je kan ? Buat hak orang macam hak sendiri

“Saya tak tuduh siapa siapa sebenarnya . Sebab tu saya buat report. Biar tahu benda sebenar,” tulisnya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 14 April lalu.

Menurutnya, kes tersebut akan dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut.

“Sementara siasatan lanjut dijalankan, pihak polis menyeru kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Insiden menyalahgunakan gambar individu untuk dijadikan poster kempen politik turut berlaku ke atas seorang model apabila gambar yang diambilnya lima tahun lalu diubah suai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Wendy Lean menerusi akaun Facebooknya menjelaskan gambar tersebut adalah gambar stok yang diambil lima tahun lalu untuk sebuah syarikat pengimejan.

Wendy berkata, ekoran penyebaran gambar itu, dia menghubungi syarikat pengimejan berkenaan dan mendapat pengesahan bahawa gambar yang dimiliki syarikat terbabit sama sekali tidak boleh digunakan untuk tujuan politik.

“Saya harap masyarakat tidak terpedaya dan berhentilah menyebarkan gambar berkenaan,” katanya.