BN Selangor berusaha kembalikan tanah Ijok kepada peneroka sekiranya menang PRU14

 |Apr 16, 2018

TANJONG KARANG: Barisan Nasional (BN) Selangor berjanji akan berusaha memulangkan baki tanah seluas kira-kira 404 hektar kepada peneroka di mukim Ijok, Kuala Selangor, sekiranya gagasan itu berjaya menawan Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Datuk Sulaiman Razak berkata BN akan melihat setiap sudut aspek perundangan bagi membolehkan peneroka memperolehi semula tanah milik mereka yang didakwa dirampas kerajaan negeri.

“Saya dimaklumkan tanah itu kini bernilai kira-kira RM750 juta. Sekiranya jadi kerajaan (di Selangor), kita (BN) akan lihat semua aspek perundangan, sekiranya masih ada ruang perundangan untuk mengembalikan hak tanah itu kepada peneroka, kita akan kembalikan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat dan penerangan berhubung kemelut isu tanah di Ijok kepada kira-kira 100 peneroka di sini, yang disampaikan peguam Datuk Kamarudin Ahmad, mewakili kesemua peneroka terbabit.

Mengulas lanjut, Sulaiman memohon mana-mana peneroka yang terbabit dengan kemelut isu tanah itu supaya tampil ke hadapan untuk menuntut kembali hak mereka.

“Kita mahu kesemua mereka ini bersatu sekaligus sebulat suara bersetuju untuk bawa isu baki tanah ini ke mahkamah. Kalau lebih ramai, pastinya kes ini lebih kuat untuk didengar di mahkamah…sekiranya ada bukti tanah itu diambil oleh kerajaan negeri, tolong kemukakan,” katanya.

Sebelum ini, penjualan tanah seluas 880 hektar kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion di mukim Ijok itu menimbulkan banyak kontroversi selain turut dipersoalkan pelbagai pihak, termasuk isu baki tanah berkenaan yang kini menjadi milik kerajaan negeri.- Bernama