Tun Mahathir dilihat sebagai pemimpin paling ‘berdosa’ kata Agus

 |Apr 13, 2018
– MO pic by Azrol Ali

BANGI: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai pemimpin yang lebih berkarisma berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pensyarah politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Agus Mohammad Yusoff berkata, karisma dua pemimpin politik itu terbukti menerusi sejarah mereka yang mencetus lonjakan sokongan luar biasa daripada masyarakat.

Beliau menjelaskan, kehebatan Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li pasti ingati apabila kejayaan memimpin Parti Semangat 46 yang menyebabkan UMNO tewas semua kerusi di Kelantan pada Pilihan Raya Umum tahun 1990.

“Bagi saya, karisma Ku Li paling kuat berbanding Dr Mahathir kerana buat pertama kali UMNO gagal menang satu kerusi pun di Kelantan.

“Karisma Anwar pula tidak boleh dinafikan apabila terus menggoncang dunia politik negara walaupun berada di dalam penjara.

“Anwar cukup berkarisma apabila berjaya mencetuskan gelombang reformasi dan memperjuangkan suara keadilan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara Persada ke-43 bertajuk PRU14: Malaysia Memilih di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Pensyarah Pusat Penyelidikan Sejarah, Politik dan Keselamatan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu menjadi panel pada program anjuran Jabatan Canselori dan FSSK.

Agus menambah, Dr Mahathir disifatkan sebagai pemimpin paradoks malah para sarjana tidak pernah berhujah di mana karisma yang dimiliki bekas Perdana Menteri keempat itu.

Jelasnya beliau, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu hanya dikenang atau dilihat rakyat sebagai pemimpin paling ‘berdosa’ dan merosakkan sistem kehakiman rakyat.

“Namun hari ini, sebahagian rakyat masih boleh menerima kepimpinannya untuk mengetuai parti pembangkang dan mengharungi PRU14.

“Bagai saya, sebagai pemimpin hak rakyat jangan diambil dan kembali bersama rakyat. Pemimpin kena memberi dan rakyat akan mencari, namun pemimpin yang mencari, rakyat tolak,” katanya.

Sementara itu, Tengku Razaleigh pernah mewarnai dunia politik tanah air apabila mencabar Mahathir sebagai Presiden UMNO pada 1987.. Malangnya, beliau tewas 43 undi dan kekalahan tersebut merupakan titik pusing kerjaya politiknya.

Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Semangat 46 dan bekerjasama dengan Pas dan DAP dalam Pilihan Raya Umum tahun 1990 tetapi gagal memenangi untuk membentukkan kerajaan.

Cuma Pas berjaya menguasai kerajaan negeri Kelantan dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya menguasai kerajaan negeri Sabah. Selepas Semangat 46 dibubarkan 1996, Tengku Razaleigh menyertai UMNO semula.

Anwar pula terus dikenang dalam lipatan sejarah apabila disingkirkan daripada Kabinet pada 1998 dan beliau telah dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun kerana didapati bersalah atas kesalahan penyalahgunaan kuasa dan kes liwat.

Anwar merupakan satu-satunya warga Malaysia yang pernah tersenarai dalam 100 orang yang dikatakan paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time iaitu pada 2008. – theRakyat