Tolak parti cauvinis dan opportunis yang tidak hormati Islam – Abdul Hadi

 |Apr 13, 2018

KUALA TERENGGANU: Rakyat perlu menolak parti-parti yang cauvinis dan oportunis yang tidak menghormati Islam sebagai agama persekutuan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) kali ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ini kerana mereka begitu berani menentang segala usaha PAS yang mahu melaksanakan Islam, walaupun dalam perkara yang tidak ada kaitan dengan penganut bukan Islam.

“Mereka juga mengambil kalangan penganut Islam yang sanggup menjadi topeng atau bersedia diperalatkan. Umat Islam tidak sepatutnya dipermainkan sehingga dinafikan hak mengamalkan ajaran Islam seluruhnya, sedangkan penganut agama lain berhak mengamalkan agama mereka dengan bebas.

“Di Malaysia, Melayu adalah kaum dominan. Maka kepimpinan utama negara semestinya dilantik daripada kaum bumiputera Melayu Islam yang beriman, budiman dan adil untuk semua, bersama kaum bukan Islam juga dilantik sebagai menteri kabinet atau exco kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan surat terbuka kepada semua pengundi PRU 14 hari ini.

Selain itu, anggota Parlimen Marang itu juga menegaskan PAS tidak boleh menyertai Pakatan Harapan kerana bercanggah dengan dasar dan konsepnya.

“Di dalam pakatan itu, ada parti dan pemimpin yang terus menerus menentang Islam secara terbuka, bersembunyi atau oportunis.

“DAP berani mencampuri perkara berkaitan Islam seperti Rang Undang Undang 355 yang tiada kaitan pun dengan kalangan bukan Islam. Di dalamnya juga ada para pemimpin yang dahulu bersekongkol dengan punca masalah negara dan dikenakan tuduhan sama bertali arus,” katanya

Beliau juga berharap semua pengundi khususnya di perantauan supaya berusaha untuk balik ke kawasan masing-masing walaupun menghadapi pelbagai halangan, ujian dan kesukaran kerana tiada lagi tanggungjawab paling penting sebagai seorang rakyat melainkan menentukan kepimpinan negara.

“Mengundi adalah kewajipan bagi rakyat Malaysia yang menjadi salah satu urusan agama dalam Islam.

“Tanggungjawab memilih pemimpin dapat dilihat melalui Peristiwa Thaqifah Bani Saidah apabila para sahabat meninggalkan majlis pengebumian jasad Rasulullah S.A.W semata-mata menghadiri perhimpunan memilih khalifah,” katanya.

Tambahnya lagi, PAS juga akan mengemukakan pelbagai latarbelakang calon yang berkaliber dan bersih rasuah untuk memimpin dan mentadbir negeri dan negara pada pilihanraya umum kali ini.– Bernama