Tikus didakwa sebabkan kehilangan 540 kg dadah

 |Apr 13, 2018

SEORANG polis baru-baru ini disoal tentang kehilangan 540kg ganja dari bilik bukti dan dia cuba memberikan penjelasan sebaik mungkin.

Dalam kejadian di Pilar, Buenos Aires, Argentina, dia memberikan alasan bahawa ia dimakan oleh tikus yang ketagihan.

Semuanya bermula pada April 2017, apabila Pesuruhjaya Emilio Portero melantik Javier Specia, sebagai ketua jabatan polis di Pilar, sebuah bandar yang terletak 60km dari
Buenos Aires.

Protokol menetapkan bahawa dalam urusan pertukaran seperti itu, inventori yang ditinggalkan di tangan penggantinya oleh pegawai yang dipindahkan ke unit lain perlu ditandatangani.

Walaupun ia didakwa dilakukan, Specia tidak pernah menandatanganinya, membuatkan Portero curiga.

Dia memberitahu Bahagian Hal Ehwal Dalam Negeri polis, yang kemudian menjalankan siasatan rasmi inventori.

Selepas membuat pemeriksaan penuh di bilik bukti, National Gendarmerie melaporkan bahawa 540kg dari 6,000kg ganja yang disebut dalam dokumen tidak dapat dikesan.

Kertas siasatan dibuka dan Specia serta tiga orang bawahannya diminta memberi keterangan tentang ganja yang hilang itu.

Menariknya, mereka semua menggunakan alasan yang sama bahawa 540kg ganja itu telah dimakan oleh tikus.

Siasatan lain dijalankan untuk memeriksa kebenaran tuntutan mereka, tetapi tidak menemui apa-apa bukti yang mungkin menunjukkan bahawa tikus memang bertanggung jawab atas kehilangan ganja dalam jumlah yang banyak.

“Dadah itu yang berada dalam keadaan kering sepenuhnya, kerana berada dalam simpanan selama kira-kira dua tahun, memaksa kita untuk menyiasat jika tikus penceroboh boleh memakannya dengan begitu banyak, tetapi pakar-pakar membuat kesimpulan bahawa itu tidak mungkin berlaku kerana jika ia berlaku, tikus-tikus itu akan mati tetapi tidak ada bangkai haiwan yang dikesan di dalam bilik itu,” kata penyiasat dalam satu kenyataan.

Kekurangan bukti mengenai serangan tikus dan ketiadaan tandatangan Specia meyakinkan hakim untuk meneruskan kes itu.

Setakat ini, tiada tindakan tatatertib diambil terhadap mereka, tetapi Specia dan orang bawahannya dijadualkan ke mahkamah persekutuan bulan depan.