‘Korban’ logo roket: DAP bakal hilang undi

 |Apr 12, 2018
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. – MO Foto Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menyifatkan keputusan parti DAP untuk tidak menggunakan logo roket pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 bakal membawa perubahan sokongan kepada parti berkenaan.

Menurutnya, DAP mungkin berhadapan dengan kehilangan undi kerana rata-rata penyokong tidak berpuas hati dengan keputusan parti berkenaan untuk bertanding di bawa satu logo.

Beliau yang merupakan bekas Naib Pengerusi DAP itu berkata, tindakan tersebut
disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada penyokong parti berkenaan.

“Ahli dan penyokong tegar DAP tidak berpuas hati dengan langkah DAP kali ini dan
mereka mewakili peratusan besar sokongan daripada masyarakat orang Cina.

“Ramai penyokong yang berasa seperti dibelakangkan oleh tindakan ini kerana mereka
tidak putus menyokong DAP selama ini,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.

Tunku Aziz mendakwa, penggunaan bendera PKR juga dilihat sebagai DAP untuk memancing undi Melayu.

“Ini membuktikan DAP tiada identiti politik yang kuat dan boleh meninggalkan identiti
serta prinsip mereka pada bila-bila masa.

“Sebelum ini, mereka (DAP) bekerjsama dengan PAS untuk meraih undi Melayu. Sekarang
mereka memecahkan hubungan antara mereka dan tiada persefahaman lagi.

“Sokongan orang Melayu sudah hilang, dan sekarang mereka perlu mengambil ‘polisi
insurans’ yang baru untuk memastikan mereka dapat sokongan orang Melayu. Satu-satunya cara adalah bertanding di bawah bendera PKR,” katanya.

Pada 5 April lalu, DAP mengesahkan tidak akan menggunakan logo roket pada di PRU14
untuk semenanjung Malaysia.

DAP telah menggunakan logo roket sejak pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya
Umum 1969.

Keputusan untuk tidak menggunakan logo roket diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memutuskan untuk memakai satu logo iaitu PKR bersama Pakatan Harapan diketuai DAP.

Perkara tersebut turut mendapat reaksi daripada salah seorang pengasas DAP, Dr. Chen
Man Hin yang kecewa dan sedih kerana kepemimpinan tertinggi yang diketuai Penasihat,
Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng terpaksa ‘mengorbankan’ logo yang begitu
sinonim dengan parti tersebut.

“Kerisauan utama saya ialah penyokong lama DAP yang telah berusia akan berasa keliru
semasa mengundi nanti sekali gus boleh memberi impak kepada prestasi DAP dalam PRU-
14,” kata Man Hin dalam satu wawancara dengan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.