ECRL beri impak positif pertumbuhan ekonomi Kelantan – Mohd Amar

 |Apr 12, 2018

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan menyokong projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana ia akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata semasa laporan mengenai projek itu dibentang dalam mesyuarat exco, kerajaan negeri memberi sokongan penuh kepada pelaksanaan projek berkenaan.

“Kita tengok, pertama adalah kemajuan negeri, kemudian daripada segi perhubungan antara pantai timur dan pantai barat, dan selepas itu peluang pekerjaan (menerusi Projek ECRL).

“Sebab itu, kerajaan negeri memberi sokongan penuh kepada projek ini kerana impak daripada segi pertumbuhannya memang besar,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jasamu Dikenang dan Penyerahan Tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat menyerah jawatannya kepada Datuk Nazran Muhammad yang sebelum ini merupakan Pengarah Tanah dan Galian Kelantan.

Mohd Faudzi akan bersara pada Sabtu ini manakala Nazran akan memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri pada Ahad ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata projek berkenaan merupakan bukti kesungguhan kerajaan pusat melakukan perubahan yang besar dan ketara di Kelantan dan negeri-negeri lain di pantai timur Semenanjung.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek ECRL peringkat Kelantan di Tunjong di sini.- Bernama