Sokong pekerja balik mengundi: Tindakan majikan ini dipuji

 |Apr 11, 2018

PETALING JAYA: Tindakan seorang majikan di ibu negara yang memberikan cuti kepada pekerjanya untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei ini mendapat pujian daripada netizen.

Menerusi perkongsian Christopher Raj di laman Facebooknya mengumumkan syarikatnya membuat keputusan untuk menghentikan operasi selama dua hari bagi memberi peluang kepada pekerja untuk pulang mengundi.

“Bagi mengurangkan beban kewangan kakitangan, pihak pengurusan akan menanggung kos perjalanan (minyak dan tol).

“Semoga Tuhan merahmati Malaysia #MalaysiaMemilih,” tulisnya.

Perkongsian Christopher yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Shekhinah PR Sdn Bhd mendapat pujian netizen dan mahukan semua majikan di negara ini melakukan tindakan yang sama.

Foto: Facebook Christopher Raj

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei (Rabu) sebagai hari mengundi.

Tindakan SPR memilih Rabu sebagai hari mengundi bukanlah pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum (PRU) di Malaysia kerana pada 1994 dan 1999, hari pengundian diadakan pada Isnin.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, majikan tidak diwajibkan untuk memberi cuti khas sehari kepada pekerja masing-masing bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

Menurutnya, namun majikan perlu memberi waktu yang munasabah kepada pekerja bagi memastikan mereka dapat keluar mengundi.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem turut menasihatkan majikan untuk membenarkan pekerja menunaikan hak sebagai warganegara untuk mengundi.

Ini selaras dengan peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengkehendaki majikan memberi suatu tempoh kepada pekerja untuk keluar mengundi.

Di bawah Seksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga, majikan yang menghalang pekerja untuk keluar mengundi pada hari berkenaan boleh didenda lebih RM5,000 atau penjara setahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, majikan di Singapura dilaporkan memberi cuti kepada rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu untuk balik mengundi.

MalaysiaKini melaporkan peniaga Ngo Hea Ong, yang menjalankan perniagaan barang kemas di Singapura, berharap dapat membantu rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka balik mengundi dan memberikan cuti khas pada 8 dan 9 Mei kepada kakitangannya dari kalangan rakyat Malaysia.

“Kami beri cuti dan elaun penuh perjalanan kepada kakitangan kami sejak pilihan raya umum yang lalu.

“Kami percaya ini akan membolehkan mereka pulang tanpa bimbang untuk memenuhi kewajipan kepada negara mereka,” katanya.