Mayat bayi lelaki dalam tong sampah

 |Apr 11, 2018

SHAH ALAM: Mayat seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan kurang 24 jam ditemui dalam tong sampah di Pusat Komersil Seksyen 7 di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mayat bayi ditemui dalam keadaan dibalut dengan kertas surat khabar dan diletakkan dalam plastik putih.

Menurutnya, mayat bayi berkenaan ditemui pekerja pungutan sampah pada 7.51 pagi dan pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat pengadu yang tampil membuat laporan di Balai Polis Seksyen 7.

“Pemeriksaan awal mendapati mayat itu berada dalam keadaan sempurna, tidak berbau dan masih bertali pusat.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan sampah sememangnya diangkut setiap hari di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Baharudin berkata, mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Shah Alam dan bedah siasat akan dilakukan esok bagi mengetahui punca kematiannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.