PRU14: SPR tetapkan 28 April penamaan calon, 9 Mei hari mengundi

 |Apr 10, 2018

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan hari pengundian bagi Pilihan Raya
Umum Ke-14 ditetapkan pada 9 Mei, manakala tarikh penamaan calon pada 28 April ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, pengundian awal akan diadakan
pada 5 Mei ini.

Menurutnya, seramai 14,940,624 juta rakyat Malaysia layak mengundi kali ini,
berdasarkan daftar pemilih suku keempat 2017.

“Tempoh berkempen adalah 11 hari bermula dari hari penamaan calon,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Mohd Hashim berkata SPR menetapkan writ pilihan raya dan notis pilihan raya 11 April.

SPR mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk menentukan tarikh pengundian dan
pencalonan bagi PRU14 selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada 7 April lepas.

Mohd Hashim berkata sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk pengendalian PRU14
melibatkan 259,391 petugas pilihan raya.

Untuk tujuan pengundian keseluruhan, SPR menyediakan 8989 pusat mengundi dengan
28,995 tempat/saluran mengundi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Barisan Nasional telah memenangai 133 daripada 222
kerusi Dewan Rakyat, manakala pembangkang di bawah Pakatan Rakyat ketika itu,
memenangi 89 kerusi yang diadakan pada 5 Mei 2013.