Hanya BN hantar nama senarai calon untuk saringan – SPRM

 |Apr 9, 2018

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan, hanya Barisan Nasional yang menghantar senarai nama calon Pilihan Raya Umum Ke-14 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk saringan bagi memastikan mereka bersih dari amalan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, sehinga kini, pihaknya masih belum menerima senara nama calon daripada parti pembangkang.

Tegasnya, hasil saringan calon untuk pilihan raya hanya akan dikongsi dengan parti yang menghantar senarai tersebut bagi menjaga kerahsiaan antara kedua-dua pihak.

“Kita amat mengalu-alukan parti untuk menghantar senarai nama calon untuk saringan dan keputusan hanya diserahkan kepada parti itu sahaja.

“Maklumat yang kita terima adalah maklumat rahsia dan semua yang disalurkan akan diteliti serta sekiranya ada asas untuk siasatan, kita akan buat siasatan,” katanya.

Menurutnya, tugas SPRM hanyamenyaring calon dan terpulang kepada parti untuk mengambil tindakan selanjutnya sama ada calon tersebut layak bertanding atau sebaliknya.

Beliau menegaskan hasil keputusan saringan tidak didedahkan kerana ia adalah maklumat rahsia kerana ia tertakluk di bawah Akta Kerahsian dan status laporan itu hanya didedahkan kepada parti sahaja.

Dalam perkembangan lain, SPRM dengan kerjasama erat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melancarkan bilik gerakan yang akan beroperasi 24 jam bagi memantau aktiviti banteras rasuah semasa Pilihan Raya Umum Ke 14.

Dzulkifli berkata, Bilik Gerakan itu berfungsi untuk memantau tiada salah laku berhubung rasuah dan proses mengundi dijalankan secara telus dan bersih.

“Ia akan dibuka bukan sahaja disini tetapi juga di peringkat negeri,” katanya.

Tambahnya, emel khas – [email protected] turut diwujudkan bagi tujuan orang ramai menyampaikan maklumat berkaitan salah laku rasuah jika berlaku sepanjang tempoh PRU.