RoS keluar perintah PPBM dibubarkan sementara

 |Apr 6, 2018

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), memberikannya tempoh 30 hari untuk melengkapkan butiran yang diperlukan atau berdepan pembubaran.

Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966.

Katanya PPBM tidak dibenarkan menggunakan nama, logo dan melaksanakan aktiviti berkaitan parti dalam tempoh 30 hari pembubaran sementara itu.

Surayati berkata pembubaran sementara itu dikeluarkan susulan kegagalan PPBM menyerahkan dengan sepenuhnya segala butir-butir maklumat dan dokumen-dokumen yang diminta menerusi notis statutori di bawah Seksyen 14 (2) yang dikeluarkan kepada parti itu pada 28 Feb.

“Oleh demikian, saya sebagai Pendaftar Pertubuhan mengambil tindakan lanjut menurut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 mengeluarkan satu perintah pembubaran sementara ke atas PPBM.

“Sekiranya PPBM dalam tempoh 30 hari daripada tarikh perintah pembubaran sementara ini dikeluarkan, menyerahkan butir-butir maklumat dan dokumen seperti diperintahkan, RoS boleh membatalkan perintah pembubaran sementara ini,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat RoS di sini.

“PPBM diingatkan supaya mematuhi arahan pembubaran sementara dengan tidak menggunakan nama, logo atau melaksanakan sebarang aktiviti bagi mengelak dikenakan tindakan,” katanya, tanpa memperincikan bentuk tindakan.

Pada 9 Mac lepas, RoS dilaporkan telah mengeluarkan notis kepada PPBM mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 yang menghendaki parti itu mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti.

Notis berkenaan berkuat kuasa 28 Feb lepas dan PPBM diberi tempoh 30 hari untuk memberi maklum balas dengan menyertakan maklumat dan dokumen yang diminta RoS.

Ditanya mengenai faktor perintah pembubaran sementara itu dikeluarkan, Surayati berkata antara lain disebabkan aduan yang diterima daripada 428 anggota PPBM berhubung cara parti mengendalikan mesyuarat, pengurusan dokumen dan penggunaan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) (sayap Pemuda PPBM) yang tiada dalam perlembagaan parti.

Surayati menjelaskan setelah tamat tempoh 30 hari daripada tarikh tempoh pembubaran sementara dikeluarkan atau jika ada rayuan dan jika rayuan itu ditolak, Seksyen 14 (7) Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan perintah pembubaran sementara menjadi mutlak dan pendaftaran PPBM dibatalkan.

Surayati berkata perintah pembubaran sementara itu memberi kesan kepada proses pendaftaran Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan menghantar permohonan pendaftaran pada Julai tahun lepas.

Mengulas tindakan RoS itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mana-mana parti politik termasuk PPBM perlu mematuhi prosedur undang-undang negara.

“Seharusnya jika kita berpersatuan, perlulah patuh undang-undang persatuan, kalau syarikat ikuti undang-undang syarikat… negara kita negara yang berdaulat, mempunyai peraturan ,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

“Bila berlaku begini yang agak tidak manisnya ada pula tuduhan atau keluar banyak berita tidak benar. Jangan pula buat cerita seolah-olah telah dianiaya dan sebagainya. Mereka yang tidak mengikut prosedur ditetapkan dan itu berita sebenar,” tegasnya.

Sementara itu, pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan RoS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap parti berkenaan.- Bernama