PPBM yang digantung sementara dilanda pelbagai masalah

 |Apr 6, 2018

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang digantung sementara Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berkuat kuasa hari ini kerana gagal mengemukakan maklumat dan dokumen yang diperlukan, dilanda pelbagai masalah sejak ditubuhkan tidak sampai dua tahun lepas.

PPBM, yang ditubuhkan berikutan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan timbalan presiden UMNO, antara lain terpaksa memecat beberapa pemimpinnya kerana masalah disiplin, menyaksikan pergaduhan sesama anggotanya semasa mesyuarat dan berdepan dengan tindakan anggotanya membuat laporan kepada polis dan RoS.

Muhyiddin adalah presiden PPBM, manakala bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pengerusi parti itu.

Antara pemimpin lain parti itu ialah bekas menteri besar Kedah dan anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz (timbalan presiden), bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (naib-presiden) dan anggota Dewan Undangan Negeri Jorak (Johor) Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (setiausaha agung).

PPBM menonjolkan dirinya sebagai parti alternatif bagi orang Melayu dan berjanji untuk melakukan perubahan.

Pada 20 Mac tahun lepas, PPBM menyertai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan, yang sebelum itu dianggotai DAP, PKR dan Amanah, sebagai komponennya.

PPBM bersama-sama parti komponen Pakatan Harapan lain telah membuat peruntukan kerusi sesama mereka dan malah menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya pakatan itu memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, berikutan masalah yang melanda parti itu sejak penubuhannya pada 8 Sept 2016, beberapa anggota hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti PPBM dan meninggalkan parti itu.

Mereka termasuk bekas naib presiden Datuk Hamidah Osman, bekas setiausaha eksekutif Kamarul Azman Habibur Rahman, bekas ketua sayap wanita Anina Saadudin dan penyokong tegar Dr Mahathir sendiri, Datuk Khairuddin Abu Hassan.

Semakin banyak anggota dilapor meninggalkan parti itu kebelakangan ini.

RoS mengeluarkan perintah penggantungan sementara hari ini berikutan kegagalan PPBM mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusatnya serta penyata kewangan setelah diarah berbuat demikian pada 28 Feb melalui satu notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

Ketua pengarah RoS Surayati Ibrahim hari ini berkata setelah mengeluarkan perintah bahawa PPBM mempunyai masa 30 hari untuk mengemukakan butiran itu, parti itu akan dibubarkan sekiranya ia gagal berbuat demikian.

Dalam masa 30 hari itu, PPBM dilarang daripada menggunakan nama dan simbolnya serta menjalankan aktiviti parti.- Bernama