Parlimen dibubar esok, beri laluan PRU 14

 |Apr 6, 2018

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-13 berkuatkuasa esok selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perkara tersebut dibuat menerusi pengumuman khas yang disiarkan secara langsung kira-kira jam 12.02 tengah hari tadi.

Turut ada ketika pengumuman tersebut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan anggota kabinet.

Dalam ucapannya, Najib berkata beliau sudah menghadap Sultan Muhammad ke-V di Istana Negara bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.

Susulan itu, Perdana Menteri menasihati semua Ketua Menteri dan Menteri Besar kecuali Sarawak, menghadap Sultan, Raja atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Langkah itu bagi memberi laluan supaya pilihan raya negeri (PRN) dan PRU dapat diadakan serentak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sarawak terkecuali daripada mengadakan PRN kerana baru sahaja diadakan pada 7 Mei pada 2017.

PRU-14 adalah yang kedua di bawah kepemimpinan Najib, yang akan memimpin jentera Barisan Nasional (BN) selepas mengambilalih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.

Susulan pembubaran Parlimen pada hari ini, SPR perlu menetapkan tarikh pilihan raya diadakan.

Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, daripada tarikh pembubaran Parlimen.

Ketika ini, Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi.