Media mula ‘berkampung’ di Istana Negara, pejabat PM

 |Apr 6, 2018

KUALA LUMPUR: Susulan desas desus pembubaran parlimen pada Jumaat, pengamal media
mengambil kesempatan ‘berkampung’ di perkarangan Istana Negara dan pejabat Perdana
Menteri bagi mengetahui perkembangan perkara tersebut.

Sinar Online melaporkan pengamal media menantikan ketibaan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak yang dikatakan bakal menghadap Yang Di-Pertuan Agong Sultan
Muhammad V, pagi Jumaat bagi mendapat perkenan membubarkan parlimen bagi memberi
laluan kepada proses PRU-14 dilakukan.

Pengamal media sudah berada di dua lokasi berkenaan seawal jam 6.45 pagi tadi.

Kira-kira jam 8.40 pagi tadi, kenderaan Perdana Menteri dilihat memasuki Perdana Putra bagi mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang dijadualkan berlangsung pagi ini.

Sebelum itu, kenderaan membawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri Kabinet turut kelihatan memasuki bangunan tersebut untuk menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet.

Ramai pemerhati politik mengandaikan mesyuarat itu mungkin yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14.