Insiden rendang ayam tak ranggup: Zaleha terpaksa ‘kunci mulut’

 |Apr 5, 2018

KUALA LUMPUR: Peserta Masterchef UK, Zaleha Kadir Olpin yang disingkir kerana menghasilkan hidangan ayam rendang tidak ranggup tampil memberikan penjelasan susulan dirinya dianggap enggan memberikan komen mengenai isu tersebut.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, anak kelahiran Malaysia ini mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mempertahannya namun terpaksa ‘mengunci mulut’ kerana masih terikat dengan kontrak.

“Sebelum menjadi peserta MC (MasterChef), setiap orang daripada kami perlu menandatangani kontrak dengan BBC dan penerbit, Shine TV.

“Saya tidak mengabaikan anda atau tidak bersyukur. Saya tidak dapat memberi komen mengenai isu ‘rendang’,” katanya.

FotoL Instagram Zaleha

Wanita berusia 48 tahun berkenaan menyediakan nasi lemak dan rendang ayam ketika pusingan ‘kalah mati’ program masakan realiti itu.

Pada rancangan tersebut, dua juri iaitu John Torode dan Gregg Wallace mengkritik masakan Zaleha dengan menyatakan nasi yang disediakan menggunakan terlalu banyak santan dan sambal hendaklah lebih pedas serta ayam pula perlu betul-betul lembut.

Mereka juga mengkritik kulit ayam yang dimasak rendang hasil air tangan Zaleha yang dikatakan tidak cukup rangup.

Komen mereka membangkitkan kemarahan di media sosial, dengan kebanyakan mereka berkata tidak pernah mendengar mengenai rendang ayam garing.

Insiden tersebut turut mendapat perhatian pemimpin negara dari kerajaan mahupun pembangkang yang mengetepikan perbezaan mereka dan bergabung menyokong Zaleha.

Zaleha berkata dia tersentuh dengan sokongan hebat daripada orang ramai dan berterima kasih kepada chef Malaysia, Chef Wan dan Norman Musa.

“Kalian adalah legenda,” tulisnya.