Ditahan kes dadah: Rizalman dakwa diperangkap

 |Apr 4, 2018

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar mengakui dirinya ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu kota baru-baru ini namun mendakwa penahanan tersebut wujud unsur sabotaj.

Menurutnya, serbuan tersebut seolah-olah mensasarkan bilik karaoke yang menempatkan dirinya dan 10 rakan yang lain dan tiada pemeriksaan di bilik lain di pusat hiburan berlesen tersebut.

“Saya syak ia lebih kepada agenda politik dan siapa yang melakukan itu saya tak pasti tetapi cara operasi tersebut dilaksanakan sangat spesifik.

“Serbuan itu di bilik saya dan waktu singkat saya terus dibawa ke IPD Dang Wang, serbuan itu tak pergi ke mana-mana bilik,” katanya pada sidang media khas yang dikongsikan menerusi akaun Facebooknya.

Tegasnya, insiden tersebut lebih kepada satu perangkap untuk merosakkan menjatuhkan reputasi beliau sebagai pemimpin UMNO di Bandar Tun Razak.

Jelasnya, tidak akan sesekali meletakkan jawatan yang disandang susulan kes itu dan menyerahkan segalanya kepada pucuk pimpinan parti dan Barisan Nasional (BN) untuk membuat keputusan.

Beliau turut menafikan terlibat dengan penyalahgunaan dadah selepas saringan awal air kencing mendapati dirinya positif dadah jenis positif amphetamine dan methamphetamine.

“Kami ke kelab itu untuk berhibur dan hanya mengambil kopi dan minuman ringan. Tiada minuman keras mahupun dadah.

“Itu yang saya pelik bagaimana saringan awal mendapati saya positif dadah. Saya boleh katakan ini perangkap kerana tidak mengambil dadah dan ketika ditahan pun saya normal serta tidak khayal,” katanya.

Rizalman berkata, adalah tidak adil bagi dirinya dipersalahkan kerana sehingga kini beliau belum disabitkan kesalahan dan didakwa di mahkmah.

“Kenapa disebabkan perkara yang masih tidak pasti ini menjejaskan peluang saya disenaraikan sebagai calon BN pada pilihan raya akan datang?

“Saya bersih dan telah terlibat dalam politik selama 14 tahun. Jangan kerana isu kecil ini sumbangan saya secara konsisten dilupakan,” tegasnya.

Beliau menjelaskan sedia melepaskan jawatan sekiranya mahkamah memutuskan dirinya bersalah susulan insiden tersebut.

Rizalman yang juga Ahli Lembaga Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya dan hasil siasatan awal polis mendapati beliau dan beberapa lagi rakannya positif dadah.